27 IPT sertai Hari Maklumat Australia

27 IPT sertai Hari Maklumat Australia

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Wakil-wakil dari 27 buah institusi pengajian tinggi akan menyertai Hari Maklumat Australia – ‘Belajar, Berlatih dan Tinggal di Australia’ yang akan dikendalikan Suruhanjaya Tinggi Australia di Brunei Darussalam di Hotel Radisson, di sini, pada 10 Disember dari pukul 12 tengah hari hingga 5 petang.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi Australia, acara anjuran Suruhanjaya Perdagangan Australia itu menyediakan tempat bagi para pelajar, ibu bapa serta kaunselor pendidikan untuk mendapatkan maklumat mengenai kursus-kursus dan program yang ditawarkan oleh universiti-universiti Australia.

Ia merupakan peluang baik untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelbagai jenis program yang ditawarkan, kualiti program dan gaya pembelajaran serta mengenai kehidupan di Australia.

Maklumat mengenai pengalaman pelajar, visa, proses permohonan pelajar, melanjutkan pengajian, tempat penginapan pelajar, biasiswa dan memohon untuk belajar perubatan di Australia juga boleh didapati menerusi siri-siri seminar yang akan disampaikan oleh para penceramah dari universiti-universiti Australia dan sektor industri.

Pada acara itu, para pelajar berpeluang bersua muka dengan perwakilan dari Curtin University, Deakin University, Flinders University, Griffith University, Macquarie University, Monash University, Queensland University of Technology, Swinburne University of Technology, The University of Adelaide, The University of Melbourne, The University of Newcastle, The University of Western Australia, University of New South Wales, University of Queensland, University of Tasmania, Australian National University College, Access Macquarie Limited – Study Tours to Macquarie University, Curtin College, Canning College, Monash College, Newcastle International College, QIBT/MIBT/SIBT, RMIT, TAFE Western Australia, Trinity College, Taylors College dan Tuart College.

Suruhanjaya Tinggi Australia, dalam kenyataannya berkata, Australia berbangga dengan kualiti pendidikan dan latihannya, di mana para pelajar dari seluruh dunia datang bagi pendidikan tinggi bertaraf dunia, pendidikan dan latihan vokasional (VET) yang progresif, sekolah-sekolah cemerlang dan kursus-kursus Inggeris antarabangsanya.

Australia juga mendahului dalam pembelajaran berasaskan teknologi yang menyediakan alat diperlukan untuk pembelajaran bebas dan kemahiran bagi kehidupan seharian.

Kualiti pendidikan Australia juga diiktiraf di Brunei dan beberapa tahun kebelakangan telah menyaksikan peningkatan jumlah pelajar Brunei yang tamat pengajian dengan kelayakan diploma, ijazah sarjana muda dan lepasan sarjana.

Menurut kenyataan itu lagi, kesemua institusi dan kursus-kursus mestilah diiktiraf oleh kerajaan Australia yang mementingkan kualiti pendidikan bagi para pelajar Australia dan juga antarabangsa.

Dengan sistem pendidikan dan latihannya yang canggih, para pelajar bukan hanya didedahkan kepada kursus-kursus pengajian bertaraf dunia malah juga perkhidmatan sokongan pakar.

Setakat ini, lebih 10,000 orang rakyat Brunei telah melanjutkan pengajian di institusi-institusi Australia dan negara itu terus menjadi destinasi pilihan bagi ramai pelajar negara ini.

Hari Maklumat itu dibukakan secara percuma kepada orang ramai dan mereka yang inginkan maklumat lanjut boleh menghubungi Austrade di talian 2236922 atau e-mel ke alamat josie.abdullah@austrade.gov.au.

ARTIKEL YANG SAMA