27 lantikan baru ahli MPP

27 lantikan baru ahli MPP

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – Ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Politeknik Brunei (PB) disarankan agar sentiasa pandai mengimbangi antara tugas dan peranan sebagai ahli MPP dan juga tanggungjawab selaku pelajar, yang mana pencapaian ahli MPP di bidang akademik adalah sangat penting.

Jika ahli MPP dapat mengemudi kedua-dua peranan ini dengan seimbangnya maka mereka boleh dikatakan benar-benar telah berjaya sebagai modal insan yang diimpikan bukan hanya oleh Politeknik Brunei malah oleh negara, bangsa dan agama.

Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai selaku tetamu kehormat majlis menyatakan perkara tersebut pada Majlis Pembubaran dan Pelantikan Ahli-ahli Baru Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2015/2016, yang telah berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini, kelmarin.

Pada majlis tersebut, Awang Denis Ho Mun Tai juga menyeru agar barisan MPP baru ini akan lebih bergiat aktif dan melipatgandakan usaha, kerjasama serta inisiatif dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti keagamaan, kerja-kerja sukarelawan dan kemasyarakatan termasuk juga program ‘outreach’ yang selaras dengan misi dan visi politeknik Brunei. Beliau juga menyarankan agar aktiviti yang diungkayahkan hendaklah tidak mengabaikan unsur-unsur Melayu Islam Beraja (MIB) dan tidak hanya terbatas kepada barisan MPP sahaja tetapi juga turut melibatkan pelajar-pelajar lain yang ada di Politeknik Brunei.

Sesi bergambar bersama ahli-ahli baru majlis perwakilan pelajar sesi 2015/2016.
Sesi bergambar bersama ahli-ahli baru majlis perwakilan pelajar sesi 2015/2016.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, seramai 27 orang ahli baru telah dilantik bagi menerajui MPP bagi sesi 2015/2016, yang terdiri daripada 12 orang ahli Majlis Tertinggi dan 15 daripadanya ialah ketua-ketua di pelbagai Exco masing-masing.

Majlis tersebut juga turut menyaksikan penandatangan penyerahan jawatan dan timbang terima daripada Yang Di-Pertua Majlis Tertinggi MPP Sesi 2014/2015, Awang Mohd Baihaqi bin Haji Mohd Salleh kepada Yang Di-Pertua Majlis Tertinggi MPP Sesi 2015-2016, Muhammad Sidqil Iman bin Haji Amirul Azeemy.

Penyerahan sijil kepada mantan MPP PB 2014-2015 serta penyerahan lencana kepada Yang Di-Pertua Majlis Tertinggi MPP 2015-2016 telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Politeknik Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA