27 mayat ditemui, 2 masih hilang

27 mayat ditemui, 2 masih hilang

BANGKOK, 20 Sept – Pihak berkuasa Thai hari ini meletakkan angka kematian dari insiden bot karam pada Ahad lepas kepada 27, dengan dua orang masih hilang, lapor media tempatan.

Menurut Thairath, enam lagi mayat termasuk seorang kanak-kanak berusia lapan tahun ditemui pada pagi hari ini dari Sungai Chao Phraya di wilayah Ayutthaya, Thailand kira-kira 5 kilometer dari tempat kemalangan itu berlaku di Temple Sanamchai.

Sementara itu seorang lagi wanita dan seorang lelaki masih hilang.

Daripada 27 mangsa yang maut akibat lemas di tempat kejadian dan di hospital Ayutthaya, 20 adalah wanita, dan 7 adalah lelaki.

Lebih daripada 50 penumpang cedera, seorang daripadanya dilaporkan mengalami kecederaan yang serius.

Para pekerja meneruskan operasi pencarian mangsa yang hilang selepas feri karam di wilayah Ayutthaya. – AFP
Para pekerja meneruskan operasi pencarian mangsa yang hilang selepas feri karam di wilayah Ayutthaya. – AFP

Bot yang karam pada hari Ahad itu dilaporkan membawa kira-kira 150 penduduk Islam Thai menuju ke sebuah masjid di Ayutthaya untuk satu upacara keagamaan tahunan di wilayah utara Nonthaburi semasa ia dibenarkan membawa hanya 50 orang.

Satu rakaman video mengenai kemalangan itu menunjukkan feri dua tingkat itu gagal dikawal, selepas melanggar konkrit jambatan.

Operasi pencarian masih lagi berjalan dalam keadaan angin dan arus yang kuat.

Pegawai berkata, pengusaha bot ditahan pada Isnin dan didakwa atas kecuaian yang mengakibatkan kematian dan kecederaan serta muatan kapal dengan penumpang yang terlalu banyak.

Polis berkata, pengusaha bot mengakui bahawa kebanyakan penumpang tidak memakai jaket keselamatan di atas kapal. – Xinhua