27 murid Kindergarten 3 Sekolah PGGMB diraikan

27 murid Kindergarten 3 Sekolah PGGMB diraikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Seramai 27 orang murid Kindergarten 3 Sekolah Persekutuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB) Sungai Akar diraikan dalam Majlis Konvokesyen di sekolah berkenaan, kelmarin.

Penyampaian sijil disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Pengarah Akademi Pengajian Brunei Universiti Brunei Darussalam (UBD), Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah.

Turut hadir ialah Pengetua Sekolah PGGMB Sungai Akar, Haji Zulkipli bin Haji Ladis dan para jemputan dari Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan.

Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian hadiah pelajar cemerlang kepada mereka yang mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Peringkat ‘O’ tahun 2014.

Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang murid Kindergarten 3 Sekolah PGGMB.
Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang murid Kindergarten 3 Sekolah PGGMB.

Profesor Madya Ampuan Dr. Haji Brahim dalam ucapannya menekankan peranan ibu bapa dalam membantu kemajuan pelajaran murid-murid berbanding 50 tahun yang lalu.

“Kemudahan teknologi menjadikan anak-anak sibuk dengan telefon bimbit dan komputer yang lebih banyak memaparkan permainan. Kesannya, anak-anak kurang menumpukan perhatian kepada kerja rumah dan sekolah.

“Ledakan teknologi maklumat hari ini juga boleh mempengaruhi masa anak-anak di luar waktu sekolah jika tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya,” tambah beliau.

Majlis Konvokesyen dan penyampaian hadiah tersebut turut diserikan dengan persembahan pentas oleh murid-murid Tahun 1 hingga 6.

ARTIKEL YANG SAMA