27 pelajar baru ITQSHHB dirai

27 pelajar baru ITQSHHB dirai

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Seramai 27 orang siswa dan siswi yang diterima masuk ke Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) bagi pengambilan ke-7 sesi 2016-2019 diraikan dalam Majlis Penerimaan Siswa dan Siswi Program Diploma ‘Aliyah Qiraat, hari ini.

Majlis yang berlangsung di Musolla institut berkenaan disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun bin Haji Junid, selaku tetamu kehormat pada majlis itu.

Acara diisikan dengan solat sunnat Hajat yang diimamkan oleh Haji Mutiaa Alkabani Mahmoud, diikuti dengan bacaan Surah Yasin oleh salah seorang siswa yang diraikan, Awang Muhammad Abbasy Stu’aib bin Idris.

Manakala itu, bacaan Ratib Al-Attas pula dipimpin oleh siswa Diploma ‘Aliya Qiraat yang diraikan, Awang Muhammad Husnul Arif bin Awang Hassan.

Haji Harun menyampaikan Mushaf Al-Quran dan Kitab Qiraat kepada salah seorang siswi pengambilan ke-7.
Haji Harun menyampaikan Mushaf Al-Quran dan Kitab Qiraat kepada salah seorang siswi pengambilan ke-7.

Majlis diteruskan dengan penyampaian Mushaf Al-Quran dan Kitab Qiraat yang disempurnakan oleh Haji Harun kepada siswa dan siswi baru yang diterima masuk, diikuti dengan bacaan ikrar yang diketuai oleh salah seorang siswa Diploma ‘Aliyah Qiraat, Awang Muhammad Fathurrahman bin Awang Embran.

Pada akhir majlis itu, doa selamat telah dibacakan oleh tenaga pengajar institut berkenaan, Haji Helmi bin Haji Salim.

Program yang diadakan ini merupakan projek tahunan ITQSHHB bagi pengambilan siswa dan siswi baru bagi institut berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA