27 peserta tamat kursus CSC ABDB 6

27 peserta tamat kursus CSC ABDB 6

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Okt – Seramai 27 orang peserta telah berjaya menamatkan Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-6, Bagi Tahun 2016 (CSC ABDB 6) dan menerima sijil masing-masing pada majlis penutup kursus yang berlangsung di Auditorium Akademi Pertahanan ABDB, Kampung Tanah Jambu, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para peserta kursus ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.

Turut hadir ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah; Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar, pemangku pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, para komandan, pengarah, pesuruhjaya, duta dan wakil-wakil kedutaan dari negara-negara sahabat yang berkenaan serta jemputan khas.

CSC ABDB 2016 telah menyaksikan penyertaan 14 orang pegawai ABDB, seorang pegawai Pasukan Polis Diraja Brunei dan 12 orang pegawai tentera dari Bangladesh, Republik Rakyat China, India, Republik Indonesia, Malaysia, New Zealand, Kesultanan Oman, Republik Islam Pakistan, Republik Filipina, Republik Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh salah seorang peserta kursus daripada Pasukan Polis Diraja Brunei, DSP Haji Mahran bin Haji Ahmad.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz dan para jemputan khas bergambar ramai bersama peserta-peserta kursus yang diraikan.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz dan para jemputan khas bergambar ramai bersama peserta-peserta kursus yang diraikan.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz yang juga menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta CSC ABDB serta penyampaian anugerah khas kepada penuntut-penuntut terbaik.

Pemenang Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan Kursus Maktab Turus ABDB (RBAF CSC Overall Excellence), diberikan kepada penuntut yang mencapai keputusan tertinggi secara menyeluruh dalam komponen-komponen pembelajaran tentera dan akademik yang dinilai, ialah Mejar Tang Chong Kiat dari Angkatan Bersenjata Republik Singapura.

Pemenang Anugerah Pujian Kursus Maktab Turus ABDB (RBAF CSC Commendation), diberikan kepada penuntut kursus yang bukan sahaja mencapai keputusan yang baik dari segi pembelajaran tentera dan akademik, tetapi juga memberikan sumbangan secara menyeluruh terhadap tanggungjawab dalam membantu pelaksanaan dan kesejahteraan kursus, ialah Mejar Azril Omree bin Dato Hasbullah dari Angkatan Tentera Malaysia.

Terdahulu daripada itu, Pemenang Anugerah Kecemerlangan Akademik Universiti Massey (Massey University Award for Academic Excellence), diberikan oleh Massey University, New Zealand kepada penuntut kursus yang mencapai keputusan tertinggi dalam penulisan esei-esei akademik di sepanjang kursus, ialah Mejar Richard Wilson dari Tentera Amerika Syarikat di mana anugerah disampaikan oleh Pro Naib Canselor, Kolej Ilmu Kemanusiaan dan Sains Sosial, New Zealand, Profesor Paul Spoonley.

Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan sijil kepada para peserta yang menamatkan kursus berkenaan.
Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz menyampaikan sijil kepada para peserta yang menamatkan kursus berkenaan.

Mejar Tang Chong Kiat dalam temu bual bersama Media Permata berkata bahawa anugerah yang diterimanya itu, melambangkan usaha keras yang dilaksanakan oleh kesemua peserta kursus kerana mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran di mana mereka harus mencapai kesepakatan untuk memahami keadaan dunia dari segi pertahanan dan ketenteraan.

Anugerah itu, tambahnya lagi, merupakan hasil kejayaan mereka semua untuk bukan sahaja menamatkan kursus tetapi memahami di antara satu sama yang lain kerana mereka semua mempunyai latar belakang serta pengalaman yang amat berbeza.

Menurut beliau lagi, keunikan kursus turus itu adalah, ia merupakan satu pengalaman yang amat berguna baginya kerana peserta-peserta kursus adalah dari pelbagai negara di mana mereka mempunyai pengalaman tersendiri untuk dikongsi dan melalui perkongsian itu, setiap peserta bukan sahaja memahami di antara satu sama lain tetapi mempunyai ilmu pengetahuan mengenai cara untuk menangani sesuatu yang berlaku hasil daripada perkongsian itu.

Beliau juga percaya bahawa pertukaran maklumat, pengalaman dan ilmu pengetahuan itu setentunya akan dapat digunakan dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi dalam keadaan operasi global yang semakin mencabar.

CSC ABDB adalah kursus 40 minggu yang dikendalikan dengan kerjasama Universiti Massey, New Zealand yang bermatlamat untuk mengembangkan lagi ilmu pengetahuan profesional dan pembelajaran akademik serta membangunkan kemahiran kepimpinan, analisis dan komunikasi pegawai-pegawai peringkat tengah untuk persediaan mereka untuk memegang jawatan yang lebih tinggi nanti.

ARTIKEL YANG SAMA