27 peserta terima sijil pendidikan intervensi

27 peserta terima sijil pendidikan intervensi

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Seramai 27 peserta dari 10 buah negara ahli SEAMEO, hari ini menerima sijil mereka pada Majlis Penyampaian Sijil Program Latihan ‘Conducting an Impact Study to Enhance the Effectiveness of Educational Interventions’ di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Gadong.

Hadir menyampaikan sijil program yang diadakan selama dua minggu itu ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Profesor Madya Dr. Haji Azman bin Ahmad.

Beliau dalam ucapannya menjelaskan bahawa terdapat banyak intervensi dalam bidang Pendidikan Teknik, Vokasional dan Latihan serta dalam pendidikan umum yang memerlukan pembelajaran terhadap kesan tersebut.

“Di Kementerian Pendidikan masih terdapat intervensi pendidikan yang tidak dinilai dengan betul atau belum dimajukan, terutamanya dalam hal menilai impak mereka kepada pihak yang berkepentingan,” tambahnya.

Beliau seterusnya berharap, peserta program akan dapat membantu kementerian yang berkaitan dengan menjalankan ‘impact study’ di masa akan datang.

Peserta-peserta program yang menerima sijil mereka daripada Dr. Haji Azman.
Peserta-peserta program yang menerima sijil mereka daripada Dr. Haji Azman.

Di peringkat serantau, di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosio Kebudayaan ASEAN, jelasnya lagi, terdapat banyak inisiatif yang berkaitan dengan pendidikan dan latihan.

“Penyediaan keberkesanan pekerja melalui pendidikan dan latihan yang betul untuk menyediakan mereka bekerja di negara asal atau luar adalah penting untuk menjangka pergerakan pekerja di rantau ini,” tambahnya.

Beliau juga menambah bahawa, “Berikutan dengan pembangunan inisiatif SEAMEO, banyak projek menarik yang boleh dimanfaatkan oleh ahli, seperti yang disedari oleh Menteri Pendidikan dalam negara ahli SEAMEO 11 hadir dengan tujuh bidang utama dan salah satu darinya ialah TVET.”

Program tersebut diadakan antara lain bertujuan untuk menyediakan peserta dengan pengetahuan dan kemahiran dalam ‘impact study’, di mana ia sangat berguna kepada mereka yang ditugaskan untuk melaksanakan projek ke arah mencapai sasaran dan objektif yang dikehendaki. Program yang dihoskan oleh Negara Brunei Darussalam ini disertai oleh Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

ARTIKEL YANG SAMA