27 warga Jabatan Penjara dirai

27 warga Jabatan Penjara dirai

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Enam orang pegawai, 21 orang anggota pangkat rendah dan dua orang kakitangan Jabatan Penjara yang telah bersara dan bakal bersara dalam Tahun 2015 dan 2016, diraikan dalam Majlis Doa Selamat dan Menghargai Perkhidmatan yang berlangsung di Pusat Latihan, Jabatan Penjara Maraburong, Daerah Tutong, hari ini.

Majlis bertemakan ‘Jasamu Dikenang, Setulus Ingatan Kekal Abadi’ bagi pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara itu dihadiri oleh Pemangku Pengarah Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat selaku tetamu kehormat majlis.

Turut hadir ialah ketua-ketua pengurusan, para pegawai kanan dan kakitangan Jabatan Penjara.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengerusi majlis, Penguasa Penjara, Pengiran Roslinawati binti Pengiran Haji Omar, diikuti dengan ucapan tetamu kehormat, yang antara lain mendoakan selamat maju jaya kepada pegawai-pegawai yang bersara dan bakal bersara dalam meneruskan kehidupan selepas ini bersama keluarga masing-masing.

Gambar ramai bersama warga Jabatan Penjara yang diraikan pada majlis tersebut.
Gambar ramai bersama warga Jabatan Penjara yang diraikan pada majlis tersebut.

Dalam kesempatan itu, beliau juga menggesa pegawai-pegawai penjara yang masih berkhidmat agar akan dapat meningkatkan disiplin dan menjalankan tanggungjawab dalam memberikan pemulihan kepada para penghuni penjara dengan sempurna.

Sementara itu, wakil mereka yang diraikan, Koperal 316 Hajah Noorain berkata, beliau amat berterima kasih kepada pihak pengurusan Jabatan Penjara kerana majlis tersebut merupakan satu penghargaan dan penghormatan yang tinggi nilainya bagi mereka.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada pegawai-pegawai yang diraikan oleh tetamu kehormat majlis.

Menurut pengerusi majlis, acara tersebut bertujuan bagi mengenang jasa dan memberi penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan yang telah bersara atas sumbangan dan bakti yang dicurahkan selama bertugas di Jabatan Penjara yang merangkumi segala sumbangan dalam bentuk tenaga, buah fikiran, sokongan moral, kewangan, masa dan juga pengalaman yang sudah setentunya memberikan signifikan dan tinggi nilainya kepada pihak jabatan ini.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Haji Iskandar bin Haji Buntar.

ARTIKEL YANG SAMA