271 kenderaan Toyota di Brunei ditarik balik

271 kenderaan Toyota di Brunei ditarik balik

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Sebanyak 271 buah kenderaan jenama Toyota di negara ini telah ditarik balik (Recalls) berikutan masalah isu inflator beg udara yang telah menyaksikan penarikan semula lebih sejuta kenderaan Toyota di seluruh dunia.

Jurucakap NBT (B) Sdn Bhd, ketika dihubungi, memberitahu bahawa model yang terjejas adalah Lexus CT200h sebanyak 231 unit dan model Prius sebanyak 40 unit, yang katanya, dilengkapi dengan gelembung beg udara di sudut kiri dan kanan rel atap.

“Setiap perisai tirai beg udara menggunakan jenis inflator hibrid yang mengandungi gas mampat dalam satu ruang inflator dan propelan, yang mana ruang ini dikimpal bersama.

“Ada beberapa inflator mempunyai keretakan di kawasan yang dikimpal, jika keretakan itu membesar dari semasa ke semasa, ia akan boleh memisahkannya. Ini telah dilihat, jika kenderaan diletakkan dan dibiarkan tanpa penghuni pada waktu yang lama,” jelasnya.

Menurut beliau, jika inflator terpisah, gas mampat tersebut akan terlepas, boleh menyebabkan salah satu atau kedua-dua seksyen inflator itu memasuki ruang dalam kenderaan dan jika terdapat penumpang di dalam kereta ia boleh membawa kepada kecederaan.

Berikutan isu ini, NBT akan memaklumkan pelanggannya menerusi surat rasmi untuk memberitahu masalah tersebut dan menarik semula kenderaan berkenaan. Walau bagaimanapun, NBT perlu menunggu ketibaan peralatan sebelum pelanggan dikehendaki untuk membawa kenderaan mereka.

“Bagi pembaikan alat tersebut, NBT tidak akan mengenakan sebarang pembayaran dan akan memasang pengekalan pendakap (bracker retention) bagi menghalang gas memasuki ruang dalam kenderaan jika ia berlaku,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA