272 murid Skim Khatam dirai

272 murid Skim Khatam dirai

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Seramai 272 orang murid kelas Skim Khatam Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, hari ini.

Para peserta khatam terdiri daripada 91 murid lelaki dan 181 orang murid perempuan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.

Sehingga kini pihak masjid telah dapat mengkhatamkan seramai 1,555 orang murid yang berjaya membaca Al-Quran bermula Juzuk pertama sehingga juzuk 30 dengan bacaan secara muratal iaitu semenjak skim berkenaan diperkenalkan pada tahun 1998 sehingga kini dengan tenaga pembimbing empat orang guru.

Para peserta skim berkenaan, pada amnya telah memulakan pembelajaran Al-Quran di masjid berkenaan bermula dari umur empat tahun dengan mengikuti kelas bimbingan agama, seterusnya mengikuti kelas Muqaddam dan Al-Quran sehingga berkelayakan untuk mengikuti kelas skim khatam Al-Quran hingga berjaya mengkhatamkan Al-Quran dengan baik.

Seramai 272 orang murid Skim Khatam Al-Quran Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran.
Seramai 272 orang murid Skim Khatam Al-Quran Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran.

Menurut kenyataan Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, bagi mencapai maksud memberikan pendidikan agama yang berterusan khususnya dalam bidang Al-Quran, maka murid-murid skim berkenaan diberi peluang untuk meneruskan pembelajaran dengan mengikuti kelas lanjutan Al-Quran yang dikendalikan oleh pihak masjid yang memfokuskan pembelajaran Al-Quran dari segi tajwid dan bertaranum.

Pihak Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah berharap, melalui usaha yang dikendalikan ini, para murid akan terus mempelajari dan memahami ajaran-ajaran yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian

Usaha ini dapat merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan rakyat yang celik Al-Quran dan Negara Zikir.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan persembahan tausyeh oleh para pelajar lelaki dan perempuan kelas lanjutan Al-Quran dan diikuti dengan bacaan zikir beramai-ramai.

Kemudian, Surah Al-Fatihah dibacakan oleh tetamu kehormat sebelum diikuti dengan bacaan doa dan Surah Ar-Rahman oleh para peserta.

Bagi memberikan kefahaman mengenai surah yang dibaca, inti sari Surah Ar-Rahman dibacakan oleh salah seorang peserta khatam, Awang Abdul Majid bin Haji Shazli sementara Doa Khatam dibacakan oleh Awang Ahmad Syarkawi bin Mardy.

ARTIKEL YANG SAMA