28 ahli kumpulan pengganas ditembak mati

28 ahli kumpulan pengganas ditembak mati

BEIJING, 20 Nov (AFP) – Polis China telah membunuh 28 ahli “kumpulan pengganas” di rantau Xinjiang, pihak berkuasa mengumumkan hari ini, dalam operasi yang paling berdarah dalam beberapa bulan dan apabila Beijing mengutuk pihak Barat “berat sebelah” berikutan serangan Paris.

Pembunuhan itu berlaku sepanjang pemburuan 56 hari berikutan satu serangan di lombong batu arang di Aksu pada September yang telah mengorbankan 16 orang, menurut laman portal kerajaan Tianshan rantau Xinjiang. Seorang “samseng” menyerah diri, tambahnya.

Ia merupakan pengesahan rasmi pertama terhadap kedua-dua serangan ke atas lombong dan selepasnya.

Xinjiang merupakan tanah air bagi kebanyakan etnik minoriti Islam Uighur, kebanyakannya mengadu terhadap diskriminasi dan kawalan-kawalan terhadap adat dan agama mereka, dan sering dilanda dengan pergolakan maut.

Serangan terhadap lombong arang batu merupakan “satu serangan ganas pengganas di bawah arahan langsung pertubuhan ekstremis luar negara,” kata Tianshan.

Agensi berita rasmi Xinhua memetik keterangan kerajaan Xinjiang mengenal pasti ketua-ketua serangan sebagai Musa Tohniyaz dan Mamay Aysa, kedua-duanya jelas nama-nama Uighur.

Laporan-laporan hari ini datang selepas Radio Free Asia (RFA), yang dibiayai oleh kerajaan AS, berkata bahawa lebih daripada 50 orang termasuk lima polis telah terbunuh dalam serangan berpisau di lombong arang batu di Asku pada September.

Para penyerang menyasarkan pengawal-pengawal keselamatan, rumah pemilik lombong, dan asrama pekerja, katanya.

Awal minggu ini RFA memetik sumber-sumber kerajaan dan orang tempatan sebagai berkata 17 suspek, termasuk tujuh wanita dan kanak-kanak, di antaranya anak damit berusia satu tahun dan enam bulan telah dibunuh oleh pihak berkuasa.

ARTIKEL YANG SAMA