28 pengadil tamat klinik FIBA

28 pengadil tamat klinik FIBA

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Dis – Negara Brunei Darussalam mampu untuk melahirkan pengadil bola keranjang yang bertaraf antarabangsa serta mampu mengadili perlawanan-perlawanan bola keranjang serantau dan antarabangsa terutamanya perlawanan oleh International Basketball Federation (FIBA).

Sehubungan dengan itu, seramai 28 orang pengadil bola keranjang tempatan menyertai dan berjaya menamatkan serta menerima sijil penyertaan dalam Klinik Pengadil Kebangsaan FIBA yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei, Batu Bersurat, hari ini.

Hadir menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta klinik berkenaan ialah Ketua Pegawai Belia dan Sukan (Belia) serta Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Hajah Noor Maslina binti Haji Sulaiman.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Penasihat Kehormat Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA), Dr. Chan Sui Kiat, Presiden BBA, Lim Ting Guan serta ahli-ahli jawatankuasa BBA.

Klinik pengadil itu dikendalikan oleh penasihat teknikal FIBA Asia, Leftenan Kolonel (B) Lee Kak Kuan di mana semasa klinik itu, beliau memberikan penerangan mengenai dengan peraturan-peraturan terkini yang dikemaskinikan oleh FIBA.

Hajah Noor Maslina bergambar ramai dengan para peserta klinik.
Hajah Noor Maslina bergambar ramai dengan para peserta klinik.

Beliau berharap dengan kerjasama dan sokongan daripada BBA, Brunei juga mampu untuk melahirkan pengadil FIBA rasmi yang boleh dijemput bagi mengadili perlawanan-perlawanan antarabangsa.

Beliau mendedahkan bahawa pada masa ini, Brunei tidak mempunyai pengadil rasmi FIBA tetapi langkah yang diambil untuk mengadakan klinik itu merupakan langkah yang bertepatan untuk melahirkan pengadil-pengadil rasmi FIBA yang berkaliber.

Klinik selama tiga hari yang bermula pada 18 hingga 20 Disember itu, dianjurkan bersama oleh BBA dan FIBA dengan hasrat untuk meningkatkan lagi mutu pengadilan perlawanan bola keranjang oleh pengadil-pengadil tempatan dan pada masa yang sama, usaha berterusan BBA untuk melahirkan pengadil yang diiktiraf yang mampu untuk mewakili negara sebagai pengadil rasmi FIBA dalam perlawanan-perlawanan yang diiktiraf oleh FIBA.