28 premis sertai Program Safe Cam Partnership PDRM

28 premis sertai Program Safe Cam Partnership PDRM

SANDAKAN, 4 Nov (Bernama) – Sebanyak 28 premis yang mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) menyertai Program Safe Cam Partnership Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mencegah kegiatan jenayah di daerah ini.

Premis berkenaan antaranya pusat beli-belah, bank, hotel, kedai emas, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok dan Lapangan Terbang Sandakan.

Komitmen mereka menyertai program itu melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Safe Cam Patnership dengan PDRM daerah Sandakan dalam satu majlis di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah ACP Zabidi Mohd Zain mewakili PDRM Daerah Sandakan dan majlis menandatangani MoU disaksikan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Polis Sabah SAC Omar Mammah.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Omar berkata program tersebut telah dilaksanakan di sebelas daerah di negeri ini.

Katanya premis yang telah dan akan memasang CCTV menjadi rakan dan menjadikan program ini sebagai batu loncatan memerangi jenayah.

Pemasangan CCTV merupakan salah satu langkah pencegahan jenayah yang bertujuan merakam pergerakan dan imej penjenayah bagi memudahkan tugas pihak polis mengesan penjenayah terbabit, katanya.