28 terkorban dalam satu serangan bom kereta

28 terkorban dalam satu serangan bom kereta

ANKARA, 18 Feb (AFP) – Kira-kira 28 orang terbunuh dan 61 orang cedera semalam akibat bom kereta yang disasarkan ke arah ketenteraan Turki di tengah bandar Ankara, terbaru dalam siri-siri serangan yang melanda negara itu.

Letupan itu disasarkan kepada konvoi kenderaan tentera, menurut Timbalan Perdana Menteri Numan Kurtulmus, yang mengesahkan angka terbaru itu. Tidak jelas tentang pihak yang melancarkan pengeboman itu.

Presiden Recep Tayyip Erdogan berikrar akan bertindak balas ke atas penjenayah serangan itu, yang berlaku di tengah siri-siri serangan maut di Turki yang disyaki dilancarkan oleh pejuang jihad dan juga pemberontak Kurdis.

Bom itu meledak apabila konvoi bas-bas tentera yang membawa berbelas-belas tentera yang berhenti di lampu isyarat di tengah Ankara, yang mencetuskan kepanikan dan keadaan kelam kabut.

“Serangan ini sangat jelas disasarkan ke atas kehormatan negara kita secara keseluruhan dan dilancarkan dengan cara yang tidak hormat, khianat dan berbahaya,” kata Kurtulmus.

Anggota bomba cuba memadamkan kebakaran akibat letupan bom kereta di Ankara, kelmarin. – AFP
Anggota bomba cuba memadamkan kebakaran akibat letupan bom kereta di Ankara, kelmarin. – AFP

Kepulan asap dapat dilihat dari seluruh bandar itu yang naik menjulang dari tempat kejadian, berhampiran ibu pejabat ketenteraan Turki dan parlimen.

Letupan kuat itu kedengaran di seluruh Ankara yang mencemaskan para penduduk yang bergegas-gegas menuju ke anjung mereka.

“Saya melihat bola api besar berkembang,” saksi bernama Gurkan, 25 tahun yang memberitahu AFP bahawa dia berdiri 500 meter dari tempat kejadian.

“Orang ramai mula berlari ke semua arah dalam kepanikan sebaik saja mendengar letupan kuat.”

Pihak ketenteraan berkata serangan berlaku pada pukul 4:30 petang waktu tempatan dan telah menyasarkan “kenderaan yang membawa kakitangan tentera.”