280 puisi dilancarkan

280 puisi dilancarkan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Antologi Sajak Kesepakatan Warga Emas Amas Tampawan yang menghimpunkan 280 puisi di bawah lima tema hasil nukilan 14 pemuisi warga emas, telah dilancarkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kelmarin.

Pelancaran antologi berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman pada majlis yang berlangsung di DBP, Berakas.

Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit, Pengarah DBP, Hajah Aminah binti Haji Momin, serta ahli-ahli Kesepakatan Warga Emas Amas Tampawan.

Semasa berucap pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin berkata Amas Tampawan bukan sahaja menghimpunkan 280 buah puisi malahan ragam perasaan serta pemikiran yang diluahkan ke dalam bentuk penerbitan, dengan itu ia terakam dalam khazanah sastera yang menjadi warisan peninggalan masing-masing kepada anak bangsa di negara ini.

Menurut beliau lagi, keseluruhan puisi yang termuat dalam antologi ini merupakan pemikiran yang terbentuk oleh pemerhatian, pengalaman dan perasaan yang sudah lama terpendam dan para pemuisi warga emas yakin ia masih utuh nilainya.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin ketika berucap di majlis pelancaran tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin ketika berucap di majlis pelancaran tersebut.

Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Pehin turut menyentuh mengenai sebuah sajak khas berjudul ‘Pada Parasahanku’, yang menurutnya, sedikit sebanyak memberikan kesan dan sentuhan rasa kepada beliau melalui pengucapan oleh kesemua pemuisi yang sepakat untuk menciptakan sajak khas berkenaan.

“Menerusinya, saya menemukan pemikiran, harapan, dan jangkaan selain juga kekecewaan dan kehampaan masing-masing dalam lingkungan dan persekitaran usia warga emas,” ujar Yang Berhormat Pehin.

Tema-tema dalam antologi ini termasuk falsafah, nasionalisme, humanisme, nasihat dan kiasan.

Para pemuisi Amas Tampawan terdiri daripada Yang Berhormat Haji Ramli; Pengiran Haji Shamsu bin Pengiran Haji Kadar (juga selaku Timbalan Ketua Penerbitan Amas Tampawan); Haji Mariat bin Haji Abdullah (pengerusi majlis); Haji Abdullah bin Haji Tahir; Haji Adanan bin Haji Awang Abdul Latif; Haji Bidin bin Haji Mohamad Noor; Haji Duming@Domeng bin Haji Abdul Wahab; Haji Dzulkiflee bin Haji Abdul Latif; Haji Isa bin Haji Shahminan; Haji Kiflee bin Tarsat; Haji Mayalin bin Haji Tuah; Haji Mohd Yassin bin Haji Hassan; Haji Nayan bin Haji Muhammad; dan Norrshamsuddin bin Haji Mohd Yassin.

Majlis pelancaran berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan-persembahan deklamasi sajak oleh beberapa orang ahli kumpulan Amas Tampawan.

ARTIKEL YANG SAMA