280 sertai khatam 70 kali

280 sertai khatam 70 kali

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 19 Mei – Lebih 200 ratus orang terlibat dalam Majlis Khatam Al-Quran 70 Kali Khatam bagi Daerah Belait, yang merupakan salah satu acara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tahun ini.

Para peserta tersebut merupakan pembaca daripada majlis perundingan kampung yang terdiri daripada empat kategori iaitu 70 orang peserta lelaki dewasa, 70 orang peserta belia, 70 orang peserta wanita dewasa dan 70 orang peserta beliawanis.

Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Kebangsaan Majlis Khatam Al-Quran 70 kali Khatam Ahli-Ahli Majlis Perundingan Kampung sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70, telah membuat pemantauan peserta-peserta khatam di Daerah Belait yang diadakan di Masjid Zainab Kampung Lumut di sini, petang tadi.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan.

Yang Berhormat Pehin Haji Abu Bakar menghadiri Majlis Pemantauan peserta-peserta khatam di Daerah Belait yang diadakan di Masjid Zainab Kampung Lumut.
Yang Berhormat Pehin Haji Abu Bakar menghadiri Majlis Pemantauan peserta-peserta khatam di Daerah Belait yang diadakan di Masjid Zainab Kampung Lumut.
Peserta-peserta Majlis Khatam Al-Quran 70 Kali Khatam, Majlis Perundingan Kampung bagi Daerah Belait.
Peserta-peserta Majlis Khatam Al-Quran 70 Kali Khatam, Majlis Perundingan Kampung bagi Daerah Belait.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Daerah Belait, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abd Salam, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta ahli-ahli jawatankuasa Majlis Khatam Al-Quran 70 kali Khatam peringkat Daerah Belait.

Majlis khatam ini antara lain bagi menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir dan celik Al-Quran, selain untuk menzahirkan rasa syukur rakyat dan penduduk negara ini kepada Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah rahmat dan nikmatNya menjadikan negara ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan sejahtera di bawah kepimpinan bijaksana Baginda Sultan.

Ia juga bertujuan untuk memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga Baginda dilanjutkan usia dan sihat walafiat serta kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam dengan hidayah dan petunjuk Allah Subhanahu Wata’ala.

ARTIKEL YANG SAMA