289 kejadian tanah, tebing runtuh banjir di S’wak

289 kejadian tanah, tebing runtuh banjir di S’wak

KUCHING, 29 Feb (Bernama) – Sejumlah 289 kejadian tanah dan tebing runtuh serta jalan terputus akibat banjir dilaporkan di jalan persekutuan dan negeri di daerah Kuching, Serian dan Samarahan dalam tempoh dua minggu hujan lebat dan banjir di negeri itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada jumlah itu, 18 kejadian berlaku di jalan persekutuan manakala bakinya berlaku di jalan negeri.

“Kerja-kerja pembaikan tanah runtuh serta jalan yang rosak akibat banjir sudah pun disiapkan. Ketika ini kita masih menjalankan kerja-kerja pembersihan serta penilaian terutama cerun bagi mengelakkan daripada runtuh di masa hadapan,” katanya dalam sidang media di sini kelmarin.

Terdahulu, Fadillah menyempurnakan Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Majlis Menandatangani Akujanji Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016 di sini.

Seramai 100 graduan ABM menerima Sijil Kecekapan Kemahiran (SKK) dan seramai 30 pemimpin industri Sarawak menandatangani CITP.

Mengulas mengenai banjir di Kuching, Fadillah berkata sudah ada kajian untuk membuat terusan dari Kampung Paroh ke Sungai Salak bagi mengalirkan air banjir terus ke laut.

Beliau berkata jika dilaksanakan nanti risiko banjir di kawasan Kuching dapat dikurangkan.

Beliau juga berharap pembinaan projek serta pembangunan pada masa hadapan akan turut mengambil kira semua faktor serta mengkaji secara menyeluruh semua sudut termasuk alam sekitar.