29 maut, serangan Al-Qaeda ke atas hotel Burkina

29 maut, serangan Al-Qaeda ke atas hotel Burkina

OUAGADOUGOU, 17 Jan – Sekurang-kurangnya 29 orang, termasuk 10 warga asing, terbunuh dalam serangan Al-Qaeda ke atas sebuah hotel terkemuka di Burkina Faso, satu serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini di ibu negara yang menggambarkan penyebaran meluas penyokong jihad serantau.

Drama selama beberapa jam itu melihat tentera Burkina, dibantu oleh pasukan khas Perancis, bertempur dengan militan – termasuk dua pejuang wanita – yang menyerbu Hotel Splendid, yang popular dengan warga asing dan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan menawan lebih daripada seratus orang untuk dijadikan tebusan.

Burkina Faso mengisytiharkan perkabungan selama tiga hari untuk negara selepas serangan, yang mencerminkan satu lagi serangan Al-Qaeda ke atas sebuah hotel mewah di Mali di mana 20 orang terbunuh, kebanyakan mereka warga asing.

“Negara Burkina berasa terkejut,” kata Presiden Roch Marc Christian Kabore, yang menjadi presiden pada bulan lalu, dalam satu ucapan di radio dan televisyen.

Pasukan penyelamat Perancis membalut orang-orang yang cedera di sekitar Splendide hotel dan Cappuc-cino kafe semasa serangan. - AFP
Pasukan penyelamat Perancis membalut orang-orang yang cedera di sekitar Splendide hotel dan Cappuc-cino kafe semasa serangan. – AFP

Serangan bermula pada kira-kira 7:45 malam pada Jumaat apabila sejumlah penyerang menyerbu Hotel Splendid di pusat Ouagadougou.

Seorang wartawan AFP ternampak tiga lelaki bersenjata memakai serban melepaskan tembakan pada Avenue Kwame Nkrumah, salah satu jalan besar bandar. Seorang lagi saksi melaporkan melihat empat orang penyerang.

Hotel dan kawasan sekitarnya bertukar menjadi medan pertempuran tatkala tentera Burkina Faso, disokong oleh tentera Perancis yang berpangkalan di bandar di bawah inisiatif cegah keganasan serantau, melancarkan satu usaha untuk menawan semula hotel pada kira-kira 2:00 pagi.

Seramai 29 orang terbunuh dalam serangan ke atas hotel dan sebuah restoran berhampiran, termasuk enam warga Kanada, dua warga Perancis dan dua warga Swissserta seorang warga Amerika. Menteri Dalam negeri Simon Compaore berkata mayat tiga penyokong jihad ‘yang amat muda’ telahpun dikenalpasti, kesemua mereka lelaki. – AFP