29 peserta pidato berentap

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Seramai 29 orang peserta telah berentap dalam peringkat separuh akhir Pertandingan Pidato Sejarah Piala Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ke-3 yang berlangsung selama dua hari, bermula hari ini di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah, di sini.

Pada hari ini, pertandingan menampilkan sembilan orang peserta Kategori ‘B’ iaitu bagi Pra-U Kerajaan dan Swasta (tidak termasuk para pelajar yang sedang dalam perkhidmatan kerajaan).

Sementara itu, pada hari kedua esok, lapan peserta akan bertanding dalam Kategori ‘A’ bagi institusi-institusi pengajian tinggi kerajaan dan swasta (tidak termasuk para pelajar yang sedang dalam perkhidmatan kerajaan) dan Kategori ‘C’ bagi sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta (Tahun 9 hingga 11 sahaja).

Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Pusat Sejarah Brunei, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Jabatan Kokurikulum dan Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan dan Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri.

Peringkat saringan telah diadakan pada Mei lalu di mana seramai 42 orang peserta bertanding dan seramai 29 peserta sahaja yang berjaya masuk ke peringkat separuh akhir mengikut kategori yang dipertandingkan.

Antara peserta yang bertanding di peringkat separuh akhir.
Antara peserta yang bertanding di peringkat separuh akhir.

Dalam peringkat separuh akhir ini, hanya tiga peserta terbaik bagi setiap kategori akan dipilih untuk bertanding di peringkat akhir nanti.

Pertandingan bertema ‘Sejarah Melakar Pembangunan Negara Bangsa’ ini berobjektif untuk menyerapkan budaya berfikir secara kritis dalam kalangan para pelajar peringkat menengah dan pengajian tinggi serta meningkatkan daya fikir para pelajar dalam membuat tafsiran dan penilaian semula ke atas suatu peristiwa bersejarah di negara ini.

Di samping itu, ia juga diadakan untuk melatih para pelajar menggunakan kaedah penyelidikan dan kajian sejarah yang sebenar, mengembangkan bakat dan minat para pelajar dalam bidang kajian sejarah, menjadikan sejarah sebagai bidang yang menarik untuk dipelajari, dikaji dan difahami serta memberi kesedaran kepada generasi muda tentang nilai sejarah kepada pembangunan negara dan seterusnya menanam perasaan cintakan raja, agama, negara dan bangsa.