290 pelajar diraikan

290 pelajar diraikan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Seramai 290 orang pelajar cemerlang dalam pembelajaran agama dan Arab telah diraikan dalam Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang anjuran Jabatan Pengajian Islam yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah kepada para pelajar cemerlang ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menyeru pelajar untuk terus berusaha bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan, malah menekankan bahawa ibu bapa juga berperanan menjayakan anak-anak dan mencemerlangkan mereka dengan sikap mengambil berat terhadap pelajaran yang mereka di sekolah.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Pehin turut menekankan tanggungjawab kementeriannya dan Jabatan Pengajian Islam terhadap pelajaran agama dan persekolahan agama serta Arab.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pelajar cemerlang.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pelajar cemerlang.
Hajah Normah ketika ditemu bual Media Permata.
Hajah Normah ketika ditemu bual Media Permata.

“Tugas dan tanggungjawab kita seterusnya pada masa ini ialah memastikan pelajaran dan persekolahan ugama dan Arab tetap signifikan dan relevan dan ke arah itu, hala tuju kementerian sekarang ialah meletakkan prioriti tugas yang disempurnakan dalam jangka waktu yang singkat,” ujarnya.

Ini, tambahnya, termasuk berusaha mengemaskannya dari segi sukatan dan kurikulum khasnya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya menekankan, ini adalah untuk memastikan mutu pendidikan agama diajarkan kepada anak-anak generasi Brunei benar-benar berhasil menjadikan generasi Muslim yang pandai membaca Al-Quran pada tahap sempurna selain pandai dan mengamalkan ibadat terutama sekali sembahyang pada tahap sempurna.

Acara tahunan yang mula diperkenalkan pada tahun 2011 itu merupakan acara berprestij untuk memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik dan usaha gigih pelajar di samping sebagai insentif kepada pelajar yang diraikan dan motivasi kepada pelajar yang lain.

Pada majlis itu, lima kategori penghargaan diberikan kepada pelajar cemerlang iaitu kategori terbaik dalam PSR, SSSRU, SPUB, STPUB dan BC-GCE ‘A’ Level.

Salah seorang pelajar cemerlang yang ditemui, Dayang Nur Maizatul Hazirah binti Mohd Hussaini telah mengongsikan petua yang membawa kepada kecemerlangan dalam pelajarannya.

“Ulang kaji pelajaran dengan teratur di samping mengikuti kelas tambahan yang dibuat oleh guru sekolah banyak membantu pelajar sehingga berjaya mencapai kejayaan seperti hari ini,” ujar beliau yang merupakan pelajar Sekolah Ugama Batalion Kedua, Tutong Kem.

Beliau yang menerima hadiah pelajar cemerlang dalam kategori SSSRU menambah, melalui kelas tambahan tersebut ia membolehkan mereka membuat ulang kaji daripada tajuk awal hinggalah akhir dengan teratur dan seterusnya melahirkan harapan, dengan keputusan kali ini akan menjadi pendorong untuk terus berusaha bagi mencapai kejayaan yang lebih baik lagi.

Pada majlis itu, wartawan Media Permata turut berkesempatan menemui Guru Besar Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop, Hajah Normah binti Mohd Daud yang mengongsikan program dan latihan yang disediakan di sekolah mereka sehingga membawa kepada pencapaian 100 peratus lulus untuk sesi pagi dalam peperiksaan SSSRU bagi tiga tahun kebelakangan.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah berkat kerjasama guru-guru dan warga sekolah dalam melaksanakan program meningkatkan pencapaian murid-murid yang antaranya memberi latih tubi kepada pelajar kemudian memberi soalan-soalan peperiksaan yang lepas sebagai latihan.

Di samping itu, kelas tambahan juga salah satu usaha membantu pelajar untuk mencapai kejayaan mereka dalam SSSRU ini selain itu, ada juga guru yang berinisiatif mengadakan latihan di luar bilik darjah.

Dalam berusaha membantu pelajar untuk mencapai keputusan yang baik, beliau turut turun padang membantu guru-guru mengajar murid yang dikategorikan lemah dan murid-murid tersebut lulus dalam peperiksaan ini.

Beliau seterusnya menambah, mata pelajaran yang ditekankan dalam latih tubi ini adalah bagi mata pelajar yang wajib iaitu Fiqh I, Al-Quran dan Tauhid.

Hasil daripada program dan latihan yang diberikan kepada murid sekolah tersebut, ujarnya, mendapat respons yang sangat baik daripada ibu bapa dan murid-murid di mana ibu bapa murid memberi kerjasama dalam membantu kelemahan anak-anak mereka.

Untuk mencapai kejayaan ini, beliau juga menasihatkan para pelajar untuk supaya sentiasa berdoa, hormat ibu bapa, hormat guru dan jangan tinggal solat, ini adalah untuk mendapat keredaan dan keberkatan daripada  Allah S.W.T.

Beliau seterusnya menekankan kepada pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan bersijil, supaya taat kepada Allah, sembahyang dan berdoa kerana sebagai hamba Allah, kita tidak boleh lupa tanggungjawab kepada Allah dan taat kepada ibu bapa serta hormat kepada guru.

ARTIKEL YANG SAMA