297 mangsa banjir tunggu arahan pulang

297 mangsa banjir tunggu arahan pulang

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 26 Nov – Seramai 297 mangsa banjir yang melibatkan 104 keluarga termasuk 13 anak damit, 25 warga emas, 60 kanak-kanak dan 209 dewasa masih berada di Dewan Masyarakat Medamit setakat tengah hari semalam.

Kebanyakkan mangsa banjir di dewan itu masih menunggu arahan daripada agensi terbabit jika dibenarkan pulang berikutan air sudah mulai surut di kawasan Pekan Medamit sejak 9 pagi semalam.

“Air dah surut, tapi kami masih menunggu arahan, jika dibenarkan pulang ke rumah hari ini (semalam),” kata seorang mangsa banjir Rosenu Munang 42 di pusat pemindahan banjir Dewan Masyarakat Medamit disini semalam.

Rosenu ditempatkan di Dewan Masyarakat Medamit sejak petang kelmarin, berikutan kediamannya bersama lima anak dan cucunya di hujung jalan Pekan Medamit dinaiki air melebihi paras pinggang.

“Kejadian berlaku agak pantas, kami terpaksa bergegas mengemas barang dan dokumen penting untuk berpindah kerana air sudah naik ke dalam rumah,”katanya lagi.

Penempatan sementara mangsa banjir di Dewan Masyarakat Medamit.
Penempatan sementara mangsa banjir di Dewan Masyarakat Medamit.

Beliau menjelaskan lagi air naik disedari ketika mereka bangun tidur awal pagi kelmarin, namun keadaan bertambah buruk sekitar jam 2.30 petang, apabila air mendadak naik melebihi paras pinggang.

“Sekitar jam 6.30 petang kelamrin, saya bersama anak-anak dan cucu segera berpindah ke Dewan Masyarakat Medamit,”katanya.

Rosenu berkata akibat musibah banjir itu juga beberapa peralatan elektrik rosak.

Katanya lagi ia merupakan kejadian kedua yang dihadapi mereka sekeluarga dalam tahun ini. Sebelum ini banjir terburuk melanda mereka adalah pada awal tahun ini menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami air.

Turut berada di lokasi kejadian adalah tujuh anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Limbang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Limbang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Limbang, pihak hospital, Pejabat Daerah dan agensi lain.