$3.2 juta hangus, 4 maut dalam kebakaran tahun lalu

$3.2 juta hangus, 4 maut dalam kebakaran tahun lalu

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Jan – Sebelas bulan pertama tahun 2015 iaitu dari Januari hingga November tahun lalu telah menyaksikan empat kematian dan dua kecederaan dalam kebakaran rumah, bangunan dan kereta di seluruh negara, berbanding enam kematian dan lima kecederaan dalam tahun 2014.

Statistik ini dikongsi oleh pegawai perhubungan awam Jabatan Bomba dan Penyelamat semasa ditemui media hari ini.

Menurut beliau, dalam tempoh yang sama, pihak jabatan juga menerima 317 panggilan kecemasan kebakaran, daripada jumlah keseluruhan 4,688 panggilan kecemasan, yang mana jumlah ini meningkat berbanding 2014 dengan 217 panggilan.

Jumlah kerugian bagi 2015 berjumlah $3,201,094 juga melebihi tahun 2014 iaitu sebanyak $2,397,535.

Menurut maklumat yang diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat, antara punca kebakaran termasuk penggunaan elektrik seperti penggunaan berlebihan, elektrik yang panas, litar pintas, sambungan yang renggang dan wayar rosak atau koyak, masakan tidak dijaga, silinder gas yang bocor, kanak-kanak yang bermain dengan api dan pembuangan sisa rokok.

Sehubungan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat menyeru setiap individu supaya lebih bertanggungjawab untuk tidak mengabaikan aspek keselamatan demi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kebakaran.

ARTIKEL YANG SAMA