3 ahli YEAB diundang ke Shanghai

3 ahli YEAB diundang ke Shanghai

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Tiga orang ahli Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB), pagi tadi, telah berlepas ke Shanghai, China bagi menyaksikan Pertandingan Belia Inovasi dan Keusahawanan China ke-3.

Pemergian YEAB berkenaan adalah atas undangan Persatuan Usahawan Muda China (CYEA) bagi menyaksikan sendiri pertandingan berkenaan dan meningkatkan lagi hubungan kerjasama serta persefahaman di antara China dan juga negara ASEAN serantau termasuk Negara Brunei Darussalam.

Mewakili Negara Brunei Darussalam daripada persatuan YEAB ialah Presiden YEAB, Hajah Norlela binti Haji Awang Buang bersama dua ahli YEAB, James Goh dan juga Ryang Wong.

Hajah Norlela semasa ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, menyatakan bahawa ini bukanlah kali pertama persatuan YEAB diundang untuk menyaksikan pertandingan seumpama ini.

Tahun ini, YEAB telah diundang oleh CYEA untuk menyaksikan pertandingan keusahawanan dan ini, ujarnya, merupakan peluang yang baik bagi YEAB untuk mempelajari dan memahami ilmu pengetahuan yang ada dan menerapkan ilmu tersebut ke negara ini.

Tiga ahli Persatuan Usahawan Muda Brunei yang berlepas pagi tadi ke Shanghai, China.
Tiga ahli Persatuan Usahawan Muda Brunei yang berlepas pagi tadi ke Shanghai, China.

“Kami sememangnya merasa begitu gembira dan bertuah kerana sering kali diberikan peluang keemasan ini dalam sama-sama membantu dan meningkatkan kesedaran mengenai dengan bidang keusahawanan khususnya lagi pada belia-belia muda masa ini.”

Beliau menjelaskan bahawa sepanjang lima hari berada di Shanghai, mereka juga akan berpeluang untuk membuat lawatan ke tempat-tempat menarik dan juga bertemu sendiri dengan menteri di Shanghai dan juga Ketua Delegasi CYEA.

Manakala itu, Ryang Wong pula memberitahu bahawa YEAB pada masa ini sudah mempunyai hampir 45 orang ahli usahawan muda sejak ia ditubuhkan pada tahun 2000 dan jumlah ini juga meningkat dari semasa ke semasa.

Beliau menjelaskan lagi, persatuan ini begitu fokus untuk meningkatkan bidang keusahawanan khusus bagi belia-belia muda dan mana-mana orang ramai yang ingin dan berminat untuk membuat perniagaan mereka sendiri, adalah dialu-alukan untuk menyertai persatuan YEAB.

Persatuan ini juga begitu komited dalam sama-sama memperbaiki lagi cara-cara keusahawanan dan YEAB juga diberikan banyak peluang untuk ke luar negara bagi mempelajari cara-cara perniagaan di negara lain.

Ryan Wong seterusnya menjelaskan lagi bahawa dengan lawatan tahun ini akan dapat memberikan pengalaman keusahawanan yang berbeza dari China dengan kecekapan yang lebih baik, proses-proses dan latihan yang baik.

Sepanjang lawatan mereka di sana, YEAB berharap agar dapat memanfaatkan semua ilmu pengetahuan yang telah dipelajari, sekali gus akan dapat dikongsikan bersama usahawan di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA