3 bidang hadapi kesukaran ambil pekerja

3 bidang hadapi kesukaran ambil pekerja

GEORGE TOWN, 9 Sept – Jobstreet.com, sebuah syarikat perekrutan dalam talian, mengenal pasti bidang jualan, perakaunan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), sumber manusia dan pentadbiran serta kejuruteraan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran kerja.

Pengurus negara Jobstreet.com Chook Yuh Yng berkata bagaimanapun, bilangan pemohon untuk jualan, perakaunan dan bakat ICT adalah lebih rendah.

“Kami mengenal pasti bidang berkenaan yang secara umumnya kita lihat bahawa permintaannya tinggi tetapi ia menghadapi banyak masalah kerana ramai majikan sukar mengambil pekerja,” katanya dalam sidang media pada acara Rangkaian Sumber Manusia ke-16 di sini, hari ini.

Beliau berkata majikan lebih sukar mendapatkan pekerja dalam tiga bidang tersebut disebabkan oleh faktor permintaan dan penawaran.

Mengenai tinjauan pasaran kerja, Chook berkata ia masih baik berbanding tahun lepas walaupun trend pengambilan pekerja dijangka menurun pada separuh kedua tahun ini.

“Saya akan kata ia okey pada masa ini, tetapi saya fikir ia benar-benar perlu dipantau setiap bulan kerana ada banyak ketidakpastian buat masa ini,” katanya.

Terdahulu, seramai 140 peserta dari pelbagai sektor mengambil bahagian dalam acara itu yang bertujuan untuk merangsang perbincangan topik terhangat dalam persekitaran sumber manusia yang mencabar.

Bertemakan ‘Memenangi Strategi bagi Pengurusan Bakat 2015: Penjenamaan Majikan dan Kepimpinan Sumber Manusia’, ia juga bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan organisasi menerusi pertukaran idea baharu dalam menarik, mengekalkan dan memupuk bakat yang betul. – Bernama