3 buah rumah ranap dalam kebakaran

3 buah rumah ranap dalam kebakaran

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Keceriaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini berakhir buat tiga buah keluarga yang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Sungai Kebun ranap dijilat api dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, dua orang penghuni rumah berkenaan mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat cawangan Balai Bomba Sungai Kebun, kebakaran berjaya dikawal setelah 43 minit operasi memadam dan seramai 18 orang anggota terlibat dalam operasi tersebut bersama tiga buah jentera bomba, sebuah perahu bomba serta sebuah perahu bantuan dari Balai Bomba Laut.

Salah seorang mangsa, Awang Zaki Zawawi memberitahu Media Permata bahawa hanya sedikit baju sahaja dapat diselamatkan, manakala barangan yang lain terpaksa ditinggalkan demi keselamatan.

“Buat sementara waktu, kami berpindah ke rumah ayah, dan anak saya bersama keluarga pula berpindah ke rumah mertuanya di Perumahan Mengkubau,” ujarnya.

Api marak meranapkan tiga buah rumah di Kampung Sungai Kebun awal pagi kelmarin.
Api marak meranapkan tiga buah rumah di Kampung Sungai Kebun awal pagi kelmarin.

Haji Azri, rakan setugas salah seorang mangsa Haji Jaafar bin Haji Ering pula berkata bahawa rakannya itu tidak sempat menyelamatkan kesemua harta benda yang berada di dalam rumah berkenaan, dan kini hanya tinggal sehelai sepinggang.

Haji Jaafar merupakan salah seorang kakitangan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, kini menetap di rumah salah seorang ahli keluarganya buat sementara waktu.

Sementara itu, salah seorang saksi di tempat kejadian yang ditemui di tempat kejadian menceritakan bahawa kebakaran berlaku sejak awal subuh lagi sekitar pukul 4:50 pagi dan 5 pagi.

“Pada awalnya, kami terkejut apabila mendengar bunyi suara teriakan dari luar rumah yang datang dari rumah jiran-jiran berdekatan yang meminta pertolongan.

“Apabila kami lihat keluar rumah, orang ramai terutama jiran-jiran sedang bersusah payah menyelamatkan harta benda mereka. Kami pun turut membantu apa yang perlu dibantu dan kebanyakan harta benda turut musnah dalam kebakaran berkenaan,” ujarnya.

Punca kejadian berkenaan masih lagi dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama pihak-pihak tertentu, manakala itu, kerugian akibat kejadian itu dianggarkan berjumlah $230,000.

Kesemua mangsa dari ketiga-tiga buah rumah berkenaan kini tinggal di rumah saudara dan ahli keluarga mereka.

Sementara itu, pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) memaklumkan bahawa mereka akan menghulurkan bantuan awal berupa pek makanan dan barangan keperluan asas seperti tilam dan selimut.

ARTIKEL YANG SAMA