3 buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan dilancar

3 buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan dilancar

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jun – Dakwah dalam penulisan merupakan satu unsur atau kaedah yang efektif lagi berkesan dalam usaha menyebar dan mengembang syariat Islam.

Pemangku Timbalan Mufti Kerajaan, Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusof menambah, ia adalah kaedah penyebaran dan pengembangan yang diguna pakai oleh para ulama sejak dahulu lagi dalam setiap tulisan yang mereka hasilkan.

“Penulisan ini dijadikan medan dalam membimbing, mengajar, mendidik serta memberi nasihat kepada umat ke arah kebaikan dan kebajikan, di samping mereka menjawab isu-isu permasalahan yang dikemukakan dalam memandu dan membimbing umat ini ke jalan yang lurus dan diredai oleh Allah S.W.T.”

Beliau berkata sedemikian semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Pelancaran Buku Terbitan Jabatan Mufti Kerajaan, di Ruang Legar Bangunan Darulifta’, Jabatan Mufti Kerajaan, hari ini.

Pada majlis itu, tiga buah buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan telah dilancarkan, iaitu ‘Sayangi Ibu Bapa’, ‘Memartabatkan Seni Bina Melayu Islam Beraja’ dan ‘Bahtera Perkahwinan’.

Dr. Haji Mazanan ketika melancarkan buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan.
Dr. Haji Mazanan ketika melancarkan buku terbitan Jabatan Mufti Kerajaan.

Dr. Haji Mazanan menjelaskan, kesemua buku tersebut merupakan tulisan yang disumbangkan dan diungkayahkan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang telah menulis 28 tajuk buku melalui terbitan Jabatan Mufti Kerajaan.

Terlebih dahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis, Pemangku Pengarah Pentadbiran Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Mohd Sofian bin Haji Basri.

Menurut Awang Mohd Sofian, dua daripada buku yang dilancarkan itu akan diguna pakai oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum sebagai antara bahan bacaan wajib bagi mata pelajaran Melayu Islam Beraja untuk murid-murid dan penuntut Tahun 4 hingga 11 di sekolah-sekolah kerajaan, manakala itu, sebuah lagi merupakan himpunan fatwa mengenai hal ehwal berumah tangga.

Majlis diteruskan dengan ucapan dan pelancaran buku-buku berkenaan oleh tetamu kehormat, sebelum diteruskan dengan penyerahan buku kepada pengarah perkembangan kurikulum, Kementerian Pendidikan, serta penyerahan wakaf kepada Perpustakaan Awam dan Institusi Pengajian Tinggi.

Buku ‘Sayangi Ibu Bapa’ mempunyai 40 halaman dengan cetakan sebanyak 3,000 naskhah, dan dijual pada harga $2 senaskhah, manakala itu, buku bertajuk ‘Memartabatkan Seni Bina Melayu Islam Beraja’ mempunyai 35 halaman, juga dicetak sebanyak 3,000 naskhah dan dijual dengan harga $2, sementara itu, buku ‘Bahtera Perkahwinan’ pula mempunyai 372 halaman, juga dicetak sebanyak 3,000 naskhah, dengan harga jualan $10 senaskhah. Majlis telah dimeriahkan dengan bacaan Selawat Ibrahimiah oleh para pegawai dan kakitangan Jabatan Mufti Kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA