3 cedera dalam kejadian amuk di KB

3 cedera dalam kejadian amuk di KB

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 9 Jun – Satu kejadian menggemparkan berlaku petang ini, dimana seorang kanak-kanak lelaki cedera dan kini sedang dirawat di Hospital Suri Seri Begawan, Kuala Belait, dipercayai akibat ditetak oleh seorang lelaki mengamuk.

Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam, Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Haji Mohamad Noor bin Haji Abdul Rahman yang mengesahkan kejadian itu berkata, Balai Polis Kuala Belait menerima satu laporan hari ini mengenai seorang lelaki yang mengamuk di kawasan Dewan Kemasyarakatan Kg Pandan.

Menurut beliau, kejadian tersebut berlaku semasa bapa kepada mangsa iaitu seorang budak lelaki sedang bermain sepak takraw di Dewan Kg Pandan, tiba-tiba datang suspek, iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun meluru kepada mangsa yang pada masa itu sedang bermain dan telah mengacukan pisau jenis ‘jungle knife‘ dan mencederakan mangsa di bahagian leher.

“Suspek kemudian dikejar oleh orang ramai dan sempat mencederakan lagi seorang lelaki yang berusia 27 tahun di bahagian leher mangsa. Dia seterusnya lari ke kawasan padang futsal dan sempat mencederakan lagi seorang remaja lelaki berusia lingkungan 15 hingga 16 tahun, di bahagian paha mangsa sebelum lari pulang ke rumah di kawasan berdekatan.

“Suspek akhirnya telah berjaya diserahkan oleh keluarganya kepada pihak polis,” kata ASP Haji Mohamad Noor.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke Hospital Suri Seri Begawan untuk rawatan kecemasan. Mangsa pertama telah menjalani pembedahan dan kini dirawat di hospital berkenaan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Mangsa kedua dan ketiga telah dirawat dan dibenarkan pulang. Suspek pada masa ini telah ditahan di Balai Polis Kuala Belait untuk siasatan lanjut. Insiden tersebut telah mendapat perhatian ramai dan disebarkan secara meluas melalui media sosial Whatsapp.

Sementara itu, mengulas mengenai berita penemuan seorang anak damit perempuan yang ditinggalkan di atas meja sebuah gerai kawasan Kampung Sungai Bakong Lumut, tengah hari kelmarin ASP Haji Mohamad Noor berkata, setakat ini belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes berkenaan dan memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya untuk tampil membantu dalam siasatan.

Sehubungan itu beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai anak damit tersebut agar menghubungi Unit Siasatan Penderaan Wanita dan Kanak-kanak ditalian 2232001/7, atau hubungi talian hotline polis 993 atau melaporkan terus ke mana-mana balai polis yang berdekatan.

ARTIKEL YANG SAMA