3 cedera, polis tembak lelaki bersenjata

3 cedera, polis tembak lelaki bersenjata

SYDNEY, 9 Jun – Tiga warga emas cedera apabila polis Australia melepaskan tembakan ke arah seorang lelaki yang mengacu-acukan pisau besar di pusat beli-belah Sydney yang sibuk, kata pihak berkuasa.

Insiden itu berlaku di Pasar Makanan Organik Hornsby di utara bandar dengan polis cuba mengawal lelaki tersebut, yang dilaporkan hilang dari pusat psikiatri, selepas dimaklumkan oleh kakitangan.

Saksi mengatakan dua pegawai memintanya untuk melepaskan pisau itu dan apabila dia gagal mengikut arahan, kedua-duanya melepaskan tembakan, dengan tiga wanita yang tidak bersalah, berusia antara 60 dan 80 tahun, juga tercedera.

Penolong Pesuruhjaya Denis Clifford mempertahankan para pegawainya menggunakan senjata api daripada senjata renjat yang digelarnya satu ‘keadaan antara hidup dan mati’.

Para pegawai menyiasat tempat kejadian tembakan di arked beli-belah di kawasan Hornsby, Sydney pada 9 Jun. – AFP
Para pegawai menyiasat tempat kejadian tembakan di arked beli-belah di kawasan Hornsby, Sydney pada 9 Jun. – AFP

“Ia telah dikatakan lelaki itu mendekati polis dengan sebilah pisau besar. Para pegawai polis kemudian melepaskan tembakan ke arah penyerang,” katanya, menambah bahawa lelaki itu berusia dalam 20-an, mengalami beberapa kecederaan.

“Bagaimanapun beberapa orang awam yang berada di sana turut cedera sama ada daripada peluru atau cedera serpihan peluru. Kesemuanya, empat orang telah cedera akibat tembakan senjata api itu.”

Ditanya jika ia adalah bersesuaian untuk melepaskan tembakan dalam pusat beli-belah yang sibuk itu, jawabnya: “Ia adalah satu kecemasan, namun saya tertanya-tanya apakah yang akan berlaku jika polis tidak masuk campur dan menghentikan tindakan lelaki berpisau itu.”

Kesemua yang cedera dalam keadaan yang stabil di hospital dengan siasatan polis ke atas tembak-menembak itu masih lagi dijalankan, tambahnya. – AFP