3 dipenjara tinggal lebih tempoh

3 dipenjara tinggal lebih tempoh

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160223_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Feb – Tiga warga asing dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini, kerana tinggal di negara ini melebihi tempoh yang ditetapkan.

Fitriretnowati, 32, dari Indonesia dijatuhi 10 bulan penjara dan denda $800 atau tambahan satu bulan penjara jika gagal membayar, selepas mengaku bersalah tinggal selama 560 hari di Brunei Darussalam, sejak 9 Ogos 2014 sehingga dia ditangkap pada 19 Februari 2016.

Carolina A.Morino, 57, dari Filipina dikenakan 12 bulan penjara dan denda $800 atau tambahan satu bulan penjara jika gagal membayar, selepas mengaku bersalah tinggal selama 4,369 hari di negara ini, sejak pas kerjanya mansuh pada 4 Mac 2004 sehingga dia ditangkap pada 19 Februari 2016.

Kedua-dua mereka ditahan dalam operasi bersepadu yang diketuai Jabatan Imigresen yang tertumpu di sebuah bilik sewa di Jalan Padang Baru di ibu negara.

Sementara itu, Song Keong Heong, 26, dari Malaysia dijatuhi empat bulan penjara dan tiga sebatan selepas mengaku bersalah tinggal selama 125 hari di negara ini sejak pas kerjanya mansuh pada 17 Oktober 2015.

Dia ditangkap pada 19 Februari kira-kira jam 2:15 pagi dalam serbuan bersepadu yang diketuai Jabatan Imigresen di sebuah rumah sewa di Kampung Kianggeh.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain memerintahkan hukuman ke atas kesemua defendan bermula hari ini.