$3 juta untuk repatriasi Rohingya

BANGKOK, 12 Jan – Menteri Luar Jepun hari ini menggesa pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi untuk menjamin keselamatan dan kepulangan sukarela Muslim Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di negeri bergolak, Rakhine.

Ketika Menteri Luar Taro Kono melawat Myanmar, kerajaan Jepun mengumumkan satu geran berjumlah AS$3 juta kepada kerajaan Myanmar untuk memudahkan repatriasi Rohingya.

Myanmar dan Bangladesh menandatangani satu perjanjian repatriasi pelarian Rohingya pada 23 November lalu dan Myanmar mengatakan ia akan memulakan proses itu pada 23 Januari ini. Jumlah sebenar dan berapa besarnya repatriasi tersebut masih lagi belum jelas.

“Kami sudah memutuskan untuk menyalurkan sumbangan dalam respons kepada perjanjian antara Myanmar dan Bangladesh bagi mewakili sokongan utusan antarabangsa agar repatriasi itu boleh dilaksanakan dengan lancar,” kata pegawai Kementerian Luar, Shinobu Yamaguchi dalam satu kenyataan.

Lawatan tiga hari Kono ke Myanmar termasuklah kunjungan ke negeri Rakhine. Kumpulan hak asasi kemanusiaan dan media bebas dilarang daripada membuat perjalanan ke kawasan tersebut secara bebas.

Kaunselor Negara dan Menteri Luar, Aung San Suu Kyi berjabat tangan dengan Menteri Luar Jepun, Taro Kano selepas sidang media bersama mereka di Naypyitaw, Myanmar, 12 Jan. – AP

Lebih daripada 650,000 Rohingya melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh bagi mengelak tindakan kejam yang mana pasukan keselamatan dituduh melakukan penganiayaan yang bersamaan dengan penghapusan etnik.

Semasa mesyuarat hari ini, Kono meminta kerajaan Suu Kyi untuk membenarkan akses kemanusiaan dan media ke kawasan terjejas, penempatan semula pelarian yang kembali dan pelaksanaan rekomendasi dibuat oleh bekas Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan.

Kono mengatakan Jepun juga merancang untuk menghulurkan sumbangan tambahan sebanyak $20 juta bagi memperbaiki keadaan kemanusiaan dan pembangunan di negeri Rakhine.

“Kami berterima kasih kepada Jepun atas keinginannya menyokong keperluan jangka panjang dan pendek,” kata Suu Kyi dalam satu sidang media bersama.

Yamaguchi menekankan bahawa Jepun akan memantau bagaimana repatriasi dijalankan. “Wang akan disalurkan pada masa bersesuaian berdasarkan perkembangan repatriasi,” tambahnya. – AFP