3 Kebakaran Berlaku Secara Berasingan

3 Kebakaran Berlaku Secara Berasingan

Oleh Sim Y.H., Yusrin Junaidi &

Faridah Haji Ibrahim

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Tiga kejadian kebakaran berasingan berlaku hari ini melibatkan empat buah rumah di Kampung Tamoi Ujong, sebuah petak jualan Expo di The Airport Mall dan kebakaran besar hutan di sepanjang Seria-KB Bypass.

Kejadian di Kampung Tamoi Ujong, Mukim Tamoi mengejutkan orang ramai yang pulang ke rumah selepas waktu bekerja di sekitar Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer apabila melihat kepulan asap tebal. Tiupan angin menyebabkan api marak begitu cepat. Kejadian kebakaran yang memusnahkan kira-kira empat buah rumah dan merosakkan sebuah lagi itu dipercayai berlaku antara pukul 4:30 hingga 5 petang, di mana kesemua mangsa kejadian dilaporkan berjaya menyelamatkan diri dan tidak ada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan.

Media Permata yang turut bergegas ke tempat kejadian, mendapati penduduk kampung berkenaan juga kelihatan bergegas ke tempat kejadian untuk memastikan keselamatan keluarga dan jiran masing-masing.

Ketua Kampung Tamoi Tengah dan Tamoi Ujong, Mukim Tamoi, Awang Tarip bin Haji Asgar ketika ditemui berkata kejadian itu berlaku pada sekitar pukul 4:30 hingga 5 petang, di mana beliau percaya lima buah rumah yang melibatkan kira-kira 30 orang mangsa terjejas dalam kejadian yang tidak disangka itu.

Ahli bomba dan penyelamat bersama belia kampung berusaha untuk memadam dan mengawal kebakaran di Kampung Tamoi Ujong, kelmarin.
Ahli bomba dan penyelamat bersama belia kampung berusaha untuk memadam dan mengawal kebakaran di Kampung Tamoi Ujong, kelmarin.

Beliau yang ketika itu berada di rumah menyedari hal tersebut apabila anak menantunya memberitahu mengenai dengan kejadian kebakaran itu dan segera menghubungi pihak yang berkenaan mengenai kejadian tersebut.

Manakala ahli bomba sukarelawan yang terdiri daripada belia kampung turut memberikan pertolongan awal sementara menunggu ketibaan anggota Bomba dan Penyelamat ke tempat kejadian.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah melawat mangsa susulan kebakaran itu. Turut melawat ialah Setiausaha-setiausaha Tetap di kementerian berkenaan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Datin Paduka Hajah Norlila bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abd Salam, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Idris bin Haji Mohd Ali dan Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Awang Yahya bin Haji Abd Rahman.

Menurut Pegawai Pemerintah Cawangan D, Jabatan Bomba dan Penyelamat Awang Nohi Irwan Surkarki Haji Pawi, pihaknya menerima pangilan kecemasan kira-kira pukul 4:51 petang dan anggota-anggota bomba yang tiba sejurus kemudian, mengambil masa kira-kira 17 minit untuk memadamkan api.

Sebuah jentera bomba dan lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Seri Begawan Operasi A, sebuah buah perahu dari Balai Bomba dan penyelamat Sungai Kebun Operasi D, sebuah perahu dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelancaran Operasi D, dan dua buah perahu dari Bomba Laut Operasi D segera ke lokasi kebakaran.

Seramai 16 orang sukarelawan Bomba dari Kampung Tamoi turut membantu mencegah kebakaran. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Salah seorang mangsa kebakaran, Haji Sahri bin Haji Lakim berkata, semasa kejadian, beliau tidak ada di rumah kecuali seorang anaknya.

Seorang lagi mangsa, Hajah Kayah binti Haji Osman pula memberitahu, beliau tinggal bersama sembilan ahli keluarga dan mereka kini tinggal sehelai sepinggang.

Dua buah rumah lagi yang hangus ialah milik Awang Sharkawi bin Haji Serbini dan rumah milik Suhardi bin Latif, 44 tahun.

Mereka bagaimanapun bersyukur kerana selamat daripada api kebakaran dan walaupun barang barang tidak sempat diselamatkan.

Buat masa ini, kesemua mangsa menumpang di rumah keluarga masing-masing di kampung berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA