3 keluarga terima sumbangan amal JAPEM

3 keluarga terima sumbangan amal JAPEM

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 30Jun – Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) meneruskan lagi aktiviti sumbangan amal bulan Ramadan bagi tahun Hijrah 1436 sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan di negara ini.

Aktiviti tersebut telah dilaratkan ke Daerah Belait, hari ini, dengan kunjungan ke kediaman tiga buah keluarga yang terdiri daripada orang-orang yang susah dan memerlukan bantuan.

Rombongan diketuai oleh Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman yang mula-mula telah singgah ke kediaman Awang Muhammad Hidup bin Abdullah Sipai di Kampung Merangking Ulu Belait.

Awang Muhammad Hidup, 88, merupakan duda dua orang anak dengan bekas isteri pertamanya, menerima pencen tua sebanyak $250.00 sebulan, sementara pada perkahwinan keduanya, mereka tidak memiliki anak.

Sebelum ini, beliau juga pernah menerima generator untuk kemudahan bekalan api elektrik sumbangan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan kediaman beliau pada masa ini dalam proses dibaik pulih oleh Majlis Perundingan Kampung Merangking yang mana bahan-bahan binaan seperti papan dan lainnya disediakan oleh Jabatan Daerah Belait.

Datin Paduka Hajah Adina ketika menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam aktiviti sumbangan amal bulan Ramadan di Daerah Belait.
Datin Paduka Hajah Adina ketika menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima dalam aktiviti sumbangan amal bulan Ramadan di Daerah Belait.

Semasa kunjungan tersebut Datin Paduka Hajah Adina telah menyerahkan sumbangan berupa catuan makanan asasi dan ‘hamper’ Hari Raya bagi persediaan menjelangnya Hari Raya Aidilfitri nanti.

Sumbangan yang sama juga turut dihulurkan kepada dua penerima iaitu Awang Mohammad Ali Suffian bin Muhd Hamdan @ Perachis Anak Bantan di Jalan Nong Arut Kampung Merangking Ulu Belait dan Awang Junaidi bin Yusof di Kampung Sungai Kayu Ara Lumut Seria.

Penerima kedua Awang Mohammad Ali Suffian, 48, menyara isterinya Dayang Rauyah binti Haji Mohd Yusof, 50, bersama dua orang anak mereka berusia 15 dan 17 tahun yang masih lagi menuntut di Sekolah Menengah PAP Rashidah Lumut.

Beliau hanya bekerja sebagai Pembantu Bilal di Balai Ibadat Kampung Merangking dengan bayaran secara sagu hati kira-kira $300.00 sebulan yang hanya diterimanya selepas tiga ke empat bulan selepas bertugas.

pg05_150701_d

pg05_150701_e

Manakala isteri dan dua orang anaknya turut menerima bantuan kebajikan bulanan daripada JAPEM berjumlah $460.00 sebulan dan pada masa ini keluarga berkenaan menumpang di rumah bapa angkat isterinya, Awang Mohd Yusof bin Ali.

Sementara itu, bagi penerima ketiga Awang Junaidi bin Yusof , 73, penerima pencen tua dan bantuan kebajikan bulanan $200 (pertimbangan khas), merupakan ketua keluarga kepada 10 orang tanggungan iaitu isterinya Dayang Kamsiah binti Keli dan sembilan anak mereka, dan dua daripada anak perempuan dan seorang menantu serta enam orang cucu pada masa ini tinggal bersamanya.

Awang Junaidi yang pada masa ini mengalami strok sejak tahun 2014, turut dibantu isterinya dengan jualan kuih-muih, untuk menambahkan pendapatan sekeluarga.

Menyertai sama rombongan dalam aktiviti sumbangan amal JAPEM itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Shafiee bin Ahmad, selaku Ketua Kampung Lumut 1, serta ahli rombongan yang lain termasuk pengarah-pengarah, ketua-ketua jabatan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta pegawai-pegawai kanan daripada JAPEM.

ARTIKEL YANG SAMA