3 kru antarabangsa selamat tiba di ISS

3 kru antarabangsa selamat tiba di ISS

ALMATY, 4 Sept (Reuters) – Kapal angkasa Rusia, Soyuz selamat menghantar tiga kru antarabangsa, termasuk angkasawan pertama Denmark, ke Stesen Ruang Angkasa Antarabangsa (ISS) hari ini, sehari selepas terpaksa melakukan gerakan untuk mengelak daripada berlanggar dengan serpihan ruang angkasa.

Soyuz TMA-18M berlepas ke makmal ruang angkasa bernilai $100 bilion dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan pada Rabu untuk membawa Komander Rusia, Sergei Volkov, angkasawan Kazakh, Aidyn Aimbetov dan angkasawan Denmark, Andreas Mogensen masuk ke orbit.

“Soyuz itu kini berjaya berlabuh di ISS,” menurut seorang penyampai TV NASA selepas kapal angkasa tiba di kota kara orbit 15-negara pada jam 1040 waktu Moscow (0740 GMT).

Kurang dari dua jam, geladak akan dibuka dan ketiga-tiganya akan terapung masuk ke dalam stesen yang pada masa ini diuruskan oleh enam anggota kru.

Mogensen, yang digelar ‘Gagarin Denmark’ sempena angkasawan Soviet dan manusia pertama di ruang angkasa, Yuri Gagarin, membawa basikal dan 20 patung LEGO buatan Denmark masuk ruang orbit.

Angkasawan Andreas Mogensen (tengah), komander Sergei Volkov (bawah) dan Aidyn Aimbetov berada di roket Soyuz TMA-18M, sebelum berlepas ke angkasa di Kazakhstan pada 2 September. – AFP
Angkasawan Andreas Mogensen (tengah), komander Sergei Volkov (bawah) dan Aidyn Aimbetov berada di roket Soyuz TMA-18M, sebelum berlepas ke angkasa di Kazakhstan pada 2 September. – AFP

Beliau dan Aimbetov, angkasawan ketiga Kazakhstan, dijangka akan kembali ke Bumi pada 12 September bersama angkasawan veteran Rusia, Gennady Padalka, yang sudah bekerja di ISS sejak Mac dan mencatat sekitar 878 hari berada di ruang angkasa, lebih daripada mana-mana orang lain.

Volkov akan mendarat pada Mac depan bersama dengan angkasawan NASA lain, Scott Kelly dan Rusia, Mikhail Kornienko, yang akan menghabiskan masa setahun di ruang udara pada ketika itu.

Kali ini ia telah mengambil masa dua hari untuk tiba di ISS, daripada sebelumnya enam jam yang biasanya pada beberapa tahun kebelakangan.

Agensi ruang angkasa Rusia, Roscosmos mengatakan bulan lepas altitud ISS, dianjakkan sedikit pada Julai untuk mengelak serpihan ruang angkasa, yang memerlukan pendekatan yang perlahan.

Pada Khamis, pakar balistik dari Kawalan Misi Rusia dan agensi ruang angkasa NASA Amerika Syarikat menasihatkan kru Soyuz untuk melakukan gerakan bagi mengelak pertembungan dengan roket Jepun peringkat ketiga yang dilancarkan pada 1989, menurut Roscosmos.