3 lagi mengaku bersalah kes pencerobohan Lahad Datu

3 lagi mengaku bersalah kes pencerobohan Lahad Datu

KOTA KINABALU, 24 Feb (Bernama) – Tiga orang lagi mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah kira-kira tiga tahun lepas.

Warga Filipina, Aiman Radie, 20, mengaku bersalah terhadap tuduhan menganggotai sebuah kumpulan pengganas, kesalahan yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup serta denda.

Dua lagi tertuduh, Mohamad Ali Ahmad dan Pabblo Alie, yang merupakan penduduk tempatan, mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan.

Mohamad Ali dituduh mendapatkan atau memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak lebih 30 tahun atau denda dan sebarang harta yang digunakannya atau dicadang digunakannya berhubung kesalahan itu, akan dirampas.

Pabblo berdepan dengan hukuman penjara hingga 30 tahun serta denda kerana mendapatkan harta untuk manfaat sebuah kumpulan pengganas.

Hakim Stephen Chung menangguhkan hukuman pada akhir perbicaraan pembelaan yang melibatkan 14 tertuduh.