3 lagi MPK di Belait menjalani penilaian

3 lagi MPK di Belait menjalani penilaian

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 5 Mei – Lapan daripada 12 buah kampung di Daerah Belait telah terpilih untuk dipertimbangkan ke separuh akhir Anugerah Kampung Cemerlang (AKC) ke-4 Tahun 2015,

Majlis Perundingan Kampung (MPK) Merangking, MPK STKRJ Lorong Tiga Selatan, MPK Labi 2, MPK Pandan B, MPK Mumong, MPK Sungai Teraban, MPK Lumut 1 dan MPK Lumut 2 telah dipilih melalui jawatankuasa penghakiman yang diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Awang Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar.

Perwakilan MPK daripada Daerah Belait dalam separuh akhir itu nanti, akan bersaing dengan 30 MPK dari seluruh negara, dan kemenangan akan bergantung daripada prestasi dalam beberapa kriteria penilaian termasuk pengurusan dan pentadbiran, keselamatan, perekonomian (Satu Kampung Satu Produk – 1K1P) sukan dan kebudayaan dan sebagainya.

Sementara itu, kunjungan penghakiman susulan di Daerah Belait telah diteruskan lagi bagi tiga MPK iaitu MPK Labi 2, MPK Merangking dan MPK STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria.

Semasa kunjungan penilaian itu, jawatankuasa penghakiman melaksanakan pemeriksaan kertas-kertas kerja MPK, catatan laporan kewangan, kegiatan yang dilaksanakan, rancangan masa depan dan peruntukkan.

Penghakiman turut menilai kertas-kertas kerja dan rekod perancangan serta peruntukan yang dilaksanakan setiap MPK.
Penghakiman turut menilai kertas-kertas kerja dan rekod perancangan serta peruntukan yang dilaksanakan setiap MPK.

MPK Lorong Tiga Selatan Seria, yang dikunjungi telah menggiatkan perekonomian dengan menghasilkan produk sesagun, acar buah dan kraf tangan. MPK ini juga aktif dalam semua kriteria yang dipertandingkan, iaitu keselamatan, keagamaan, kebajikan dan kemasyarakatan, serta sukan, kebudayaan dan pendidikan.

Di samping itu, mereka juga aktif mengadakan rondaan pengawasan keselamatan kampung bersama anggota Polis Diraja Brunei Daerah Belait, manakala dari segi perekonomian 1K1P, MPK ini telah aktif menyertai jualan dan pameran produk mereka, termasuk pada acara Ekstravaganza Makanan yang berlangsung selama tiga hari pada 25 hingga 29 April lalu di Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas.

Penilaian peringkat akhir bagi 30 buah MPK di seluruh negara itu nanti akan diumumkan kemudian.

ARTIKEL YANG SAMA