3 lelaki Filipina ditahan langgar perintah berkurung

3 lelaki Filipina ditahan langgar perintah berkurung

SANDAKAN, 23 Ogos – Pasukan Pangkalan Hadapan Kapal Mudah Alih Tun Azizan, Tentera Laut Diraja Malaysia menahan tiga lelaki warga Fililina kerana melanggar arahan perintah berkurung di perairan Pulau Taganak dekat sini, pada Ahad lepas.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) DCP Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, mereka berumur antara 34 hingga 52 tahun itu ditahan selepas bot mereka dikesan radar memasuki perairan negara ini secara haram pada kira-kira 9:45 malam.

“Satu pasukan Aturgerak Cepat (QRF) Angkatan Tentera Malaysia kemudiannya telah diatur gerak untuk memintas bot berkenaan. Setelah ditahan terdapat tiga lelaki berada dalam bot berkenaan.

“Setelah diperiksa, ketiga-tiga lelaki berkenaan adalah warga Filipina dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Abdul Bari berkata mereka juga didapati telah melanggar arahan perintah berkurung dan akan disiasat.

Beliau berkata bot dan seunit enjin sangkut bot itu serta wang tunai 100,000 peso (RM8,696) turut dirampas.

Wan Abdul Bari berkata kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sandakan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pasukan keselamatan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menceroboh atau melakukan aktiviti jenayah rentas sempadan bagi menjamin kedaulatan dan keamanan perairan negeri khususnya di Pantai Timur Sabah. – Bernama