3 masih hilang selepas banjir di Kansas, Texas

3 masih hilang selepas banjir di Kansas, Texas

HOUSTON, 29 Mei – Sekurang-kurangnya tiga orang hilang hari ini selepas hujan lebat di Texas dan Kansas membanjiri sungai-sungai, jalan raya dan meragut empat jiwa.

Di Kansas, pencarian bagi seorang budak lelaki berusia 11 tahun ditangguhkan lewat semalam kerana keadaan cuaca yang gelap dan keletihan pasukan responden awal, menurut ketua batalion Jabatan Bomba Wichita, Scott Brown. Budak tersebut dihanyutkan ke anak sungai yang dibanjiri pada malam Jumaat lalu.

“Kami lebih kepada pencarian mayat berbanding menyelamat,” kata Brown. Usaha pencarian akan diteruskan awal hari ini, katanya.

Berhampiran Austin, di Travis County, Texas, pegawai merancang untuk meneruskan pencarian menerusi udara hari ini bagi dua lagi yang hilang yang kenderaan mereka dihanyutkan di jalan raya yang dibanjiri selepas kawasan itu menerima turunan hujan sembilan inci minggu ini, kata jurucakap perkhidmatan kecemasan, Lisa Block.

Ancaman cuaca buruk berkurangan di Texas ketika percutian hujung minggu Memorial Day dan fokus sekarang adalah ke atas kediaman-kediaman yang mungkin dibanjiri dengan kenaikan paras air secara perlahan.

Arahan pemindahan dikeluarkan semalam bagi dua bahagian bandar Texas di sepanjang Sungai Razos berhampiran Houston.

“Keadaan langit cerah dan banyak perkara dalam keadaan baik. Tetapi kami mahu memastikan orang ramai faham bahawa kami belum lagi keluar dari hutan. Kami perlu memberikan tumpuan ke atas air yang datang dalam sistem kita,” kata Francisco Sanchez, jurucakap bagi Pejabat Pengurusan Kecemasan di Harrisd County, di mana Houston terletak.

Bahagian lain AS dalam keadaan basah pada Jumaat, termasuk Kansas. Dan pada petang semalam, Ribut Tropika Bonnie membentuk di Lautan Atlantik dan membawa hujan dan angin ke pesisir South Carolina.

Di Wilayah Washington, Texas, yang terletak antara Austin dan Houston, Hakim Wilayah John Brieden mengatakan mayat dua pemandu yang hilang telah ditemui kelmarin dalam kejadian berasingan di wilayah luar bandar itu.

Ia membawa jumlahnya kepada empat orang yang maut di wilayah itu selepas lebih 16.5 inci hujan turun di beberapa buah tempat pada Khamis dan Jumaat. Hujan lebat menghanyutkan rumah mudah alih dan membanjiri struktur lain. – AP

ARTIKEL YANG SAMA