3 maut, 13 cedera serangan bom

3 maut, 13 cedera serangan bom

NARATHIWAT, 18 Sept (Bernama) – Sebanyak lapan butir bom diletupkan dalam tempoh hampir dua jam malam tadi yang menyebabkan tiga orang terbunuh dan 13 lagi cedera di sini.

Ketua Polis Daerah Ranget, Kolonel Phakdee Prechachon berkata serangan bom yang berlaku dari 7.25 malam hingga 9.15 malam itu menyasarkan anggota renjer dan kawasan kediaman serta premis perniagaan. Beliau berkata bom bom diaktifkan dengan mengguna jam dan telefon bimbit.

Bom pertama meletup pada 7.25 malam di kedai menjual sarang burung di Jalan Rangetmanga, Mukim Tanjung Mas tetapi tiada yang cedera atau mati.

Tiada kematian atau kecederaan juga dalam letupan kedua, keempat dan kelima.

Namun begitu, letupan ketiga yang berlaku pada 7.35 malam, sebutir bom yang dipasang pada sebuah motosikal curi dan diletakkan di depan sebuah kedai serbaneka yang jaraknya 30 meter dari bom kedua menyebabkan dua kematian iaitu seorang anggota renjer dan seorang awam.

Mayat mangsa letupan bom dihantar ke Hospital Narathiwat Rachanakarin malam tadi. – Bernama
Mayat mangsa letupan bom dihantar ke Hospital Narathiwat Rachanakarin malam tadi. – Bernama

Insiden itu menyebabkan 14 orang lagi cedera termasuk empat anggota renjer dan sepuluh orang awam.

Seorang daripada orang awam yang cedera, kemudiannya meninggal di hospital Narathiwat Rachanakarin pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Wilayah Sempadan Selatan Leftenan Jeneral Anurut Kerisana yang turun padang melihat lokasi kejadian pagi ini berkata, hasil siasatan skuad bom, motosikal yang dipasang bom itu adalah milik Angchasa Fornsuwang, 17, pelajar wanita Kolej Teknik Narathiwat yang mati ditembak pada 14 Sept lepas.

Dalam kejadian itu, motosikal mangsa dilarikan dua suspek, kata beliau.

ARTIKEL YANG SAMA