3 maut, 6 hilang dalam ribut Filipina

MANILA, 12 Sept – Kira-kira tiga orang maut dan enam lagi hilang selepas ribut besar menyebabkan banjir di dalam dan sekeliling ibu negeri Filipina hari ini, memaksa sekolah-sekolah, pejabat kerajaan dan perniagaan ditutup.

Ribut berkenaan adalah yang terbaru melanda kepulauan Asia Tenggara itu, yang mengalami kira-kira 20 ribut seumpamanya setiap tahun.

Kebanyakan yang maut dan hilang adalah orang-orang miskin yang dipaksa untuk tinggal di ‘zon-zon bahaya’ yang dikenal pasti meskipun amaran-amaran kerajaan akan risiko yang mereka hadapi ketika ribut itu.

“Pihak berkuasa setempat kami secara berterusan telah memberi amaran kepada mereka bahawa tempat mereka tinggal sangat terdedah dengan tanah susur namun mereka berkeras untuk tinggal,” kata pegawai pertahanan awam, Ronnie Mateo selepas hujan itu menyebabkan tanah susur menimbus dua remaja sehingga mati di timur Manila.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun lemas di sebatang sungai yang melimpah di pinggir bandar Manila, kata pegawai bandar itu.

Penduduk menaiki rakit buatan ketika mereka menyeberangi jalan raya yang dibanjiri di Manila pada 12 September. – AFP

Ribut itu yang diberi gelaran ‘Maring’, melanda bandar timur Mauban sebelum bergerak ke barat daya merentasi pulau utama Luzon dan melintas berdekatan Manila, menurut stesen kaji cuaca kerajaan.

Di Bandar Calamba selatan Manila, banjir kilat menghanyutkan sebuah rumah setinggan di tepi sungai, mengakibatkan enam orang termasuk kanak-kanak dua tahun hilang.

“Mereka adalah penduduk informal yang tinggal di pinggir sungai. Terdapat banjir kilat dan ia menghanyutkan rumah dua tingkat mereka,” kata Noriel Habana, ketua pejabat pengurusan bencana bandar itu.

“Dalam kejadian-kejadian banjir sebelumnya, kami membuat langkah pemindahan awal. Kali ini ia satu kejadian banjir kilat dan mereka tiada masa untuk bertindak,” dia memberitahu AFP.

Peramal cuaca Renito Paciente berkata Maring, yang mengumpul angin dengan kelajuan 100 kilometer sejam dan bergerak hanya 15 kilometer sejam, memburukkan lagi banjir itu.

“Kerana ia bergerak perlahan, ia boleh membawa lebih banyak hujan dalam sebuah kawasan,” ujarnya kepada AFP. – AFP