3 maut bom bunuh diri di Libya

3 maut bom bunuh diri di Libya

BENGHAZI, Libya, 14 Jun (Reuters) – Seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di bandar Derna di Libya semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang serta mencederakan lima yang lain ketika kumpulan militan yang bermusuhan bertempur di jalanan, menurut penduduk tempatan.

Pegawai-pegawai tidak dapat mengesahkan letupan di Derna, yang berlaku di tengah-tengah pertempuran sengit di antara militan Negara Islam (IS) dan kumpulan briged Islam yang bersaing mendapatkan kawalan ke atas bandar berkenaan.

Para penduduk berkata anggota IS dan kumpulan payung Majlis al-Shura sudah pun bertempur sejak minggu lepas.

Kumpulan IS semakin mengembangkan pengaruhnya di negara Afrika Utara tersebut sejak dua kerajaan yang bersaing mula berjuang mendaoatkan kawalan, sekali gus menyebabkan wujud lompang keselamatan empat tahun lepas perang saudara yang menamatkan pemerintahan Muammar Ghadafi.

Negara-negara Eropah semakin menyatakan kebimbangan mereka berhubung perluasan pengaruh IS melepasi kubu kuat mereka di Iraq dan Syria berikutan kedudukannya yang berdekatan dengan Mediterranean.

Sembilan suspek anggota IS dibunuh dalam pertempuran berasingan pada Jumaat lepas dengan kumpulan Islam lain, kata satu sumber salah sebuah pergerakan tersebut.

Tujuh orang turut ditembak mati pada Jumaat ketika bantahan menentang IS. Mereka yang berdemonstrasi, naik berang terhadap para pejuang asing yang menyertai kumpulan militan, mula berarak ke arah pangkalan utamanya apabila lelaki bersenjata melepaskan bedilan ke atas kumpulan orang ramai, beberapa penduduk memberitahu Reuters.