3 maut bot pelancong terbalik

3 maut bot pelancong terbalik

HANOI, 5 Jun – Pasukan penyelamat telah menemui mayat tiga mangsa, termasuk dua kanak-kanak, yang dilaporkan hilang selepas bot pelancong karam di sungai terkenal di tengah Vietnam, menurut para pegawai hari ini.

“Pasukan penyelamat telah menemui semua mangsa yang hilang,” Naib Pengerusi Eksekutif bagi Jawatan-kuasa Keselamatan Trafik Kebangsaan, Dr. Khuat Viet Hung kepada dpa.

“Salah satu mayat itu ditemui berhampiran tempat kemalangan namun dua yang lain ditemui jauh dari sana.”

Para mangsa termasuk budak lelaki berusia empat tahun dan kakaknya berusia tujuh tahun, serta seorang lelaki berusia 47 tahun, kata Hung.

Kemalangan itu berlaku sekitar jam 9 malam kelmarin, apabila kapal pelayaran yang membuat perjalanan ke Sungai Han di bandar pantai Da Nang itu karam, kata Mejar Jeneral Ngo Quy Duc.

Pihak berkuasa Da Nang mengesahkan seramai 56 penumpang berada dalam bot pelancong, yang hanya dibenarkan untuk membawa 28 orang.

Gambar yang diambil pada 5 Jun menunjukkan bot pelancong karam di bandar Da Nang tengah Vietnam. – Xinhua
Gambar yang diambil pada 5 Jun menunjukkan bot pelancong karam di bandar Da Nang tengah Vietnam. – Xinhua

Kapten bot itu, yang telah ditahan, tidak mempunyai lesen sah, kata mereka.

Pengerusi bandar Da Nang, Huynh Duc Tho, berkata 53 orang telah diselamatkan pada jam 6 pagi tadi (2300 GMT Sabtu).

Laporan pada jam 1 pagi hari ini mengatakan 32 orang telah diselamatkan.

Di antara yang diselamatkan adalah empat warga Malaysia, serta seorang lelaki berusia 47 tahun dalam keadaan kritikal. Seorang lelaki Vietnam juga dilaporkan berjaya diselamatkan namun dalam keadaan parah.

Tidak ada penumpang yang memakai jaket keselamatan sebelum insiden itu, lapor akhbar harian Tuoi Tre, memetik Nguyen Thuong Hai, salah seorang mangsa yang terselamat.

Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc mengunjungi tapak insiden itu hari ini dan mengarahkan pihak berkuasa tempatan untuk mencari mangsa yang hilang dengan segera.

Cuaca panas telah mencetuskan ramai penumpang naik ke dek, menjadikan bot hilang keseimbangan dan mengakibatkan ia terbalik, menurut akhbar Tuoi Tre.

Kira-kira 1,000 orang mengambil bahagian dalam misi menyelamat itu, kata pihak berkuasa Da Nang. Pekerja penyelamat menggunakan jaring nelayan untuk mengelak mangsa daripada dihanyutkan lebih jauh, menurut pegawai bandar Tran Duc Tho. – dpa