3 maut kereta api langgar bom

3 maut kereta api langgar bom

QUETTA, Pakistan, 1 Nov (AFP) – Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan 12 lagi cedera apabila sebuah kereta api penumpang terkena bom yang ditanam di atas landasan kereta api di barat daya Pakistan, hari ini, menurut pegawai.

Bom itu meletup apabila kereta api itu memasuki Mastung, sebuah daerah di kawasan dilanda pemberontakan di wilayah Baluchistan, barat daya Pakistan.

“Bom itu ditanam di landasan kereta api. Ia meletup apabila kereta api tiba di kawasan Dasht (sebahagian daripada Mastung),” pegawai kanan kerajaan di lokasi kejadian, Shafqat Anwar memberitahu AFP.

Anwar berkata ekspres Jaffar itu dalam perjalanan dari Quetta, bandar utama Baluchistan, ke bandar Rawalpindi di wilayah Punjab pusat. Satu gerabak penumpang telah rosak selepas ia tergelincir akibat kesan letupan itu, katanya.

“Sekurang-kurangnya tiga penumpang terbunuh, dua di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan dalam perjalanan ke hospital,” kata Anwar.

Sukarelawan Pakistan membawa beberapa mangsa yang tercedera ke hospital Quetta hari ini selepas berlaku letupan terhadap kereta api tersebut. – AFP
Sukarelawan Pakistan membawa beberapa mangsa yang tercedera ke hospital Quetta hari ini selepas berlaku letupan terhadap kereta api tersebut. – AFP

Anwar Sammo, seorang lagi pegawai kanan kerajaan, memberitahu AFP bahawa peranti letupan improvisasi (IED) telah digunakan dalam serangan itu.

“IED ditanam di landasan kereta api. Mereka yang terbunuh dan cedera adalah pekerja kereta api,” kata Sammo kepada AFP, sambil menambah seramai 650 penumpang menaiki kereta api itu.

Jurucakap landasan tersebut Maqbool Ahmed berkata pengeboman di wilayah Baluchistan pagi tadi menyasarkan sebuah kereta api menuju ke Rawalpindi, di mana pihak tentera berpangkalan.

Dia berkata letupan kuat telah memusnahkan gerabak pertama dan sebahagian landasan. Bagaimanapun landasan tersebut telah diperbaiki dan trafik dipulihkan semula.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu, namun kumpulan pemisah di rantau itu telah mendakwa serangan serupa pada masa lalu.