3 maut pesta di California

3 maut pesta di California

LOS ANGELES, 2 Ogos – Seorang lelaki dan dua orang wanita menemui ajal selepas menghadiri satu pesta hujung minggu di California yang dimeriahkan oleh Ice Cube, Major Lazer dan berbelas-belas penghibur tarian muzik elektronik dan penghibur hip hop lain.

Ketiga-tiga mereka itu adalah antara sembilan orang yang dimasukkan ke hospital ketika Festival Muzik Hard Summer Music di Fontana, menurut jurucakap syerif wilayah San Bernardino, Jodi Miller.

Lebih 146,000 orang menghadiri acara luar Sabtu-Ahad itu di Auto Club Speedway, Fontana, menurut para penganjur.

Mangsa-mangsa dikenal pasti sebagai Derek Lee, 22 tahun dari San Francisco; Alyssa Dominguez, 21 tahun dari San Diego; dan Roxanne Ngo, 22 tahun dari Chino Hills, menurut pejabat koroner Wilayah San Bernardino.

Lee dan Dominguez meninggal dunia awal Ahad lalu dan Ngo meninggal dunia awal semalam, menurut koroner. Punca kematian sedang disiasat.

“Kami amat sedih apabila mengetahui tentang kematian tiga orang yang menghadiri festival hujung minggu ini,” jurucakap Hard Summer, Alexandra Greenberg berkata dalam satu kenyataan.

“Sementara punca kematian belum dipastikan, kami meminta semua orang terus mendoakan mereka. Ingatan ikhlas kami dan takziah bersama keluarga dan rakan-rakan mereka.”

Hard Summer telah berpindah ke Fontana tahun ini selepas dua wanita muda meninggal dunia akibat mengambil dadah berlebihan pada acara tahun lalu di Fairgrounds, Wilayah Los Angeles di Pomona. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA