3 maut, ribuan diselamat

3 maut, ribuan diselamat

BATON ROUGE, La., 14 Ogos – Kru-kru kecemasan menyelamatkan para pengguna jalan raya dari kereta yang terkandas akibat paras air tinggi di sepanjang jalan antara negeri selatan Louisiana sejauh tujuh batu, dan juga menyelamatkan yang lain dari rumah yang ditenggelami air paras pinggang dan bersiap sedia bagi kerja berbahaya hari ini selepas melaksanakan kira-kira 2,000 penyelamatan.

Hujan yang turun membanjiri beberapa bahagian tenggara Louisiana dan keseluruhan subdivisi dan pusat membeli belah terasing akibat air banjir yang telah mengorbankan tiga nyawa.

Gabenor Louisiana John Bel Edwards mengisytiharkan keadaan darurat dengan mengumumkan banjir sebegini ‘tidak pernah berlaku sebelumnya’ dan ‘bersejarah’.

Dia dan keluarganya malah terpaksa meninggalkan Kediaman Gabenor apabila air naik ke paras dada memenuhi bahagian bawah tanah dan bekalan elektrik ditutup.

“Ini tidak pernah berlaku sebelumnya,” kata gabenor yang keluarganya dipindahkan ke pusat polis negeri di kawasan Baton Rouge.

Gambar yang diambil dari udara menunjukkan sebuah bot meredah antara rumah-rumah yang dibanjiri selepas hujan lebat menenggelami rantau itu pada 13 Ogos, di Hammond, La. Louisiana. – AP
Gambar yang diambil dari udara menunjukkan sebuah bot meredah antara rumah-rumah yang dibanjiri selepas hujan lebat menenggelami rantau itu pada 13 Ogos, di Hammond, La. Louisiana. – AP

Gabenor telah melawat kawasan yang dilanda banjir dengan menaiki helikopter lewat semalam selepas air sungai dan anak sungai melimpahi tebing dan memberi amaran kepada para penduduk Louisiana adalah terlalu berisiko untuk keluar meskipun selepas hujan mula berkurangan.

Selain daripada tiga kematian yang disahkan, Edwards berkata seorang dilaporkan hilang.

Salah satu kebimbangan, menurut gabenor ialah ketika turunan hujan berkurangan dalam tempoh beberapa jam akan datang, orang ramai masih merasa begitu selesa di kawasan yang mana air masih naik selama beberapa hari, dan menaiki kereta di kawasan-kawasan yang mungkin masih berbahaya.

“Saya masih meminta orang ramai supaya bersabar. Jangan keluar dan berkunjung ke tempat-tempat lain,” kata Edwards.

“Meskipun cuaca semakin baik, keadaan masih tidak selamat.”

Dalam satu penyelamatan dramatik semalam, dua lelaki yang berada dalam bot menyelamatkan seorang wanita dari sebuah kereta yang hampir tenggelam sepenuhnya, menurut video WAFB. Wanita itu, yang tidak dapat dilihat dalam kamera berteriak dari dalam kereta “Saya lemas.”

Salah seorang penyelamat, David Phung, terjun ke dalam air yang berwarna coklat dan menyelamatkan wanita itu. Wanita itu merayu Phung untuk menyelamatkan anjingnya, tetapi Phung tidak menemuinya. Selepas beberapa saat Phung menyelam ke dalam air, dan muncul semula, bersama anjing kecil. Wanita dan anjingnya itu nampaknya selamat. – AP

ARTIKEL YANG SAMA