3 maut terjerut tali layang-layang

3 maut terjerut tali layang-layang

NEW DELHI, 17 Ogos – Dua kanak-kanak dan seorang lelaki terbunuh di bandar India selepas leher mereka terjerut oleh benang (tangsi) dilumuri kaca yang digunakan untuk menerbangkan layang-layang semasa meraikan Hari Kemerdekaan, kata polis hari ini.

Tragedi itu telah mencetuskan kerajaan Delhi pada minggu ini mengeluarkan satu tegahan serta-merta ke atas penghasilan, penjualan dan penyimpanan tangsi tajam seperti pisau cukur itu yang digunakan untuk cuba memutuskan layang-layang pesaing.

Kerajaan berkata sesiapa yang ditangkap menggunakan tangsi itu yang dikenali manjha oleh orang tempatan, akan berdepan hukuman lima tahun penjara dan denda 100,000 rupee (AS$1,500).

Kanak-kanak itu, berusia empat dan enam tahun, meninggal dunia dalam insiden berasingan di New Delhi pada Isnin selepas mereka menjenguk keluar dari bumbung suria atap kereta mereka.

Gambar fail yang diambil pada 8 Januari menunjukkan seorang pekerja India sedang menyediakan gulungan benang layang-layang berwarna-warni di tepi jalan Amritsar, menjelang festival Lohri. – AFP
Gambar fail yang diambil pada 8 Januari menunjukkan seorang pekerja India sedang menyediakan gulungan benang layang-layang berwarna-warni di tepi jalan Amritsar, menjelang festival Lohri. – AFP

“Kanak-kanak itu sedang melihat keluar dari bumbung suria apabila mereka tersangkut dengan tangsi maut tersebut,” Pushpender Kumar, timbalan pesuruhjaya polis barat Delhi, memberitahu AFP.

Seorang lelaki berusia 22 tahun juga meninggal dunia dalam cara yang sama ketika dia sedang menunggang motosikalnya di bawah jambatan di bandar, menurut pegawai lain.

Tidak ada yang ditangkap berhubung kematian itu.

Dua lagi mangsa lain, seorang kanak-kanak berusia lima tahun dan seorang anggota polis cedera parah dalam insiden lain melibatkan tangsi serupa menurut laporan.

Menerbangkan layang-layang sangat popular semasa Hari Kemerdekaan, dengan langit diselubungi layang-layang berwarna-warni terutamanya warna bendera India dan dipasang dengan tangsi panjang. – AFP