3 negara rancang rondaan bersama

3 negara rancang rondaan bersama

JAKARTA, 18 April (Xinhua) – Tentera-tentera dari Indonesia, Filipina dan Malaysia akan melaksanakan rondaan bersama di sempadan laut negara ketika ancaman lanun sedang memuncak selepas penculikan 14 warga Indonesia di wilayah itu, menurut pegawai keselamatan kanan, hari ini.

Jurucakap bagi Ketua Kementerian Keselamatan Indonesia, Agus R. Barnas mengatakan rondaan bersama itu akan dapat menjamin keselamatan perairan laut yang juga merupakan laluan sibuk operasi perkapalan bagi perdagangan antarabangsa.

Setiap pegawai tentera akan meronda dalam wilayah mereka di kawasan sempadan tiga negara, namun rondaan itu akan disepadukan, kata Barnas.

“Kami akan bekerjasama dalam rondaan bersama. Rondaan itu dikoordinasi dan dihasratkan untuk menjamin kawasan sempadan, dan juga laluan perkapalan,” ujarnya kepada Xinhua menerusi telefon.

Salah satu fungsi laluan itu, yang melintasi menerusi wilayah Indonesia, adalah bagi mengangkut arang dari Indonesia ke negara-negara lain, seperti Filipina, menurut Barnas.

Indonesia adalah sebuah negara kepulauan dan dilintasi oleh tiga laluan perkapalan antarabangsa yang digelar ALKI.

“Sempadan itu dilintasi oleh laluan perkapalan antarabangsa dari Hong Kong (China) ke selatan dan melintasi ke perairan Indonesia. Aktiviti ekonomi begitu aktif dijalankan di sana, termasuk pengangkutan arang,” dedahnya.

Kira-kira 10 pekerja Indonesia dalam sebuah kapal mengangkut arang telah diculik di wilayah sempadan itu sejak bulan lepas oleh kumpulan pengganas Abu Sayyap yang berpangkalan di Filipina.

ARTIKEL YANG SAMA