3 nelayan hilang selepas bot berlanggar kapal penguat kuasa

3 nelayan hilang selepas bot berlanggar kapal penguat kuasa

KUCHING, 14 Sept (Bernama) – Tiga nelayan dilaporkan hilang selepas bot mereka karam dipercayai selepas berlanggar dengan sebuah kapal penguat kuasa negara jiran dua hari lalu.

Bagaimanapun, empat nelayan lagi yang turut berada di dalam bot itu berjaya diselamatkan dan kini berada dalam tahanan pihak berkuasa negara tersebut.

Jurucakap Balai Polis Sematan di Lundu berkata kejadian dipercayai berlaku di perairan negara jiran itu selepas bot nelayan tersebut dikejar oleh kapal penguat kuasa asing itu sebelum berlaku pelanggaran dan mengakibatkan bot itu karam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia berkata pihaknya akan mengadakan operasi mencari dan menyelamat nelayan yang hilang.