3 pegawai ke Jeddah

3 pegawai ke Jeddah

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Syarikat pengendali umrah dan haji milik kerajaan, Darussalam Holdings Sdn Bhd, hari ini menghantar tiga pegawai kanannya ke Jeddah bagi membuat persiapan awal untuk menyambut bakal jemaah haji negara yang akan berangkat ke tanah suci untuk mengerjakan haji bagi musim ini.

Ketiga-tiga pegawai yang berlepas hari ini ialah Pengarah Urusan Darussalam Holdings Sdn Bhd, Haji Mahmud bin Haji Mohamed, Pegawai Jabatan Haji dan Umrah Darussalam Holdings Sdn Bhd, Haji Musa bin Haji Ismail dan Pegawai Jabatan Pematuhan (Compliance) Darussalam Holdings Sdn Bhd, Haji Shamsul bin Haji Abdul Rahman.

Menurut Ketua Jabatan Haji dan Umrah syarikat itu, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Abu Bakar, pemergian ketiga-tiga pegawai itu adalah bagi membuat persiapan dan memastikan semua pengurusan, penginapan dan pengangkutan yang digunakan oleh para jemaah haji sudah teratur.

Katanya, apabila jemaah haji sampai di Madinah Al-Munawarah pada 30 dan 31 Ogos depan, semua kelengkapan telah tersedia, terutama bilik-bilik penginapan bagi jemaah haji.

Dari kiri: Haji Musa, Haji Mahmud dan Haji Shamsul sebelum berlepas ke Jeddah.
Dari kiri: Haji Musa, Haji Mahmud dan Haji Shamsul sebelum berlepas ke Jeddah.

Menurutnya, para pegawai itu juga akan berjumpa dengan beberapa ejen berkenaan haji dan umrah di Arab Saudi khususnya ejen yang akan menyimpan segala dokumen dan pasport para jemaah, ejen yang akan menguruskan perjalanan dari lapangan terbang Madinah ke hotel, dari Madinah ke Mekah serta ejen kenderaan yang akan membawa para jemaah wukuf di Arafah dan kembali ke Jeddah untuk kembali ke Negara Brunei Darussalam.

“Ketiga-tiga mereka akan berlepas ke Jeddah, dan seterusnya ke Madinah dan Mekah untuk menjalankan tugas yang telah ditetapkan,” kata Pengiran Haji Ibrahim.

Beliau menjelaskan pada musim haji tahun ini, Darussalam Holdings Sdn Bhd mengendalikan seramai 354 daripada 400 para jemaah haji dari negara ini, yang dibahagikan kepada dua penerbangan iaitu penerbangan pertama pada 30 Ogos 2015 dan penerbangan kedua ialah pada 31 Ogos 2015.

ARTIKEL YANG SAMA