3 pelajar ke Jepun sertai festival filem

3 pelajar ke Jepun sertai festival filem

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Nov – Tiga orang penuntut dari Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar, hari ini, telah berlepas ke Jepun bagi menyertai Festival Filem Kanak-Kanak Antarabangsa Asia (The Asian International Children’s Film Festival) sebagai salah satu daripada Program JENESYS2016, di mana mereka akan berada di sana selama sembilan hari.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada pelajar-pelajar berkenaan ialah Setiausaha Pertama di Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, Junko Kurihara.

JENESYS 2016 bertujuan untuk memberi peluang kepada orang-orang muda untuk pergi dan melihat Negara Jepun, budaya, ekonomi, teknologi serta kepentingannya kepada Brunei.

Mereka digalakkan untuk mengongsikan apa yang mereka perolehi dan pelajari di Jepun dalam meningkatkan hubungan bersama antara kedua-dua buah negara pada masa depan.

Menurut kenyataan daripada jawatankuasa eksekutif Bandaraya Kitami, festival filem ini diadakan dengan hasrat untuk memberi impian dan harapan kepada kanak-kanak.

Junko Kurihara bergambar bersama tiga penuntut dari Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar dan ketua rombongan serta guru-guru dan pegawai dari Kementerian Pendidikan.
Junko Kurihara bergambar bersama tiga penuntut dari Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar dan ketua rombongan serta guru-guru dan pegawai dari Kementerian Pendidikan.

“Kanak-kanak mengendalikan semua perkara daripada menulis senario hingga menyunting tanpa sebarang bantuan daripada orang dewasa sebanyak mungkin, supaya kita dapat menjangkakan bahawa kanak-kanak akan dapat belajar daripada kerja berpasukan dan rasa tanggungjawab serta membangunkan mental mereka,” menurut kenyataan itu lagi.

Pada tahun ini, sebuah filem telah berjaya dipilih untuk menyertai festival berkenaan di mana para peserta negara juga akan menonton filem-filem yang dihasilkan oleh pasukan lain.

Selain acara festival, pelajar juga akan melawat Muzium Ais Terapung Okhotsk dan mencuba sendiri sukan Curling di gelanggang ais. Mereka juga akan menyertai mesyuarat beserta majlis makan malam pertukaran bersama sekolah-sekolah atau komuniti setempat di mana mereka akan berpeluang untuk bertemu dengan masyarakat dan pelajar-pelajar tempatan.

ARTIKEL YANG SAMA