3 pelajar terima biasiswa ke Perancis

3 pelajar terima biasiswa ke Perancis

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jun – Tiga pelajar tempatan telah dipilih menerima biasiswa melanjutkan pengajian ke Perancis di bawah Skim Biasiswa Pendidikan Total 2015 (TESS) Syarikat Total E&P Deep Offshore Borneo B.V (TEPDOB).

Sehubungan dengan itu, majlis penandatangan perjanjian bagi biasiswa berkenaan, di antara TEPDOB dan para penerima biasiswa telah berlangsung di Brunei Hotel, di ibu negara, hari ini, dengan disaksikan oleh Setiausaha Tetap (Hiliran dan Tenaga) di Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Jamain bin Haji Julaihi.

Turut hadir ialah Duta Besar Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Loan Forgeron; Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum Brunei, Dato Matsatejo Sokiaw, serta perwakilan dari Rakan-rakan Usaha Sama Block CA1.

Menandatangani perjanjian bagi pihak TEPDOB ialah Pengurus Besarnya, Yves Grosjean, dan tiga pelajar yang menerima biasiswa berkenaan ialah Goh Jing Shun dan Hazel Lim Sheau Shiuan, kedua-duanya daripada Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, serta Awang Mohammad Hariz bin Haji Mohd Zaili daripada Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Yves Grosjean dalam ucapannya berkata, Skim Biasiswa TESS ditawarkan dengan kerjasama rakan-rakan kongsi iaitu BHP Billiton Petroleum GB Ltd, Hess Ltd, Petronas Carigali Brunei Ltd, dan Canam Brunei Oil Ltd, serta sokongan penuh Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dan PetroleumBRUNEI (PB).

Salah seorang pelajar (2 kiri) menandatangani Skim Perjanjian TESS dengan Yves Grosjean (2 kanan) sambil disaksikan oleh Dato Paduka Haji Jamain.
Salah seorang pelajar (2 kiri) menandatangani Skim Perjanjian TESS dengan Yves Grosjean (2 kanan) sambil disaksikan oleh Dato Paduka Haji Jamain.
Dato Paduka Haji Jamain (3 kiri), Yves Grosjean (2 kanan) bergambar bersama para penerima Skim TESS 2015.
Dato Paduka Haji Jamain (3 kiri), Yves Grosjean (2 kanan) bergambar bersama para penerima Skim TESS 2015.

“Di Perancis, kami juga disokong oleh Kumpulan Pendidikan Total dan kami juga menghubungkannya dengan Duta Besar Brunei di Perancis,” tambah beliau.

Kempen TESS ini dijalankan buat kali ketiga, bermula Februari 2012 dengan menyaksikan lima pelajar tempatan melanjutkan pengajian mereka di Perancis, diikuti dengan dua lagi pelajar pada tahun 2014, manakala tahun ini tiga pelajar menerima biasiswa berkenaan.

“Apa yang penting ialah untuk berkongsi bahawa pelajar-pelajar ini telah menunjukkan prestasi akademik yang sangat baik dan telah memilih mereka untuk menyertai Skim TESS kali ini dan menjalani cabaran baru di sana,” ujarnya merujuk kepada para penerima biasiswa tahun ini.

Di bawah biasiswa ini, para pelajar akan berpeluang mengikuti empat langkah proses sistem pendidikan baru Perancis.

Pertama, mereka akan didaftarkan di L’Institut Universitaire de Technologie (IUT), kemudian memasuki program asas Pra-U program asas sebelum mereka melanjutkan pengajian ijazah sarjana mereka di universiti terbaik di Perancis.

Mereka seterusnya akan meneruskan pengajian peringkat ijazah dengan pengalaman pekerjaan antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA